PUTATAN: Sudah tiba masanya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menampilkan calon-calon muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Petagas, Mohd Isquzawan Israq Arsit (gambar) berkata, pengundi dibawah umur 40 tahun di negeri ini sudah melebih 60 peratus daripada jumlah pengundi keseluruhan.
“Dengan adanya calon-calon muda yang berkebolehan ini, kita dapat mengimbangi suara-suara anak muda, suara-suara umur pertengahan dan umur-umur yang emas ini.
“Ia penting supaya kita dapat membawa membawa apakah inisiatif mereka, apakah pandangan mereka untuk diangkat di dalam peringkat kerajaan negeri.
“Saya juga yakin GRS mampu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekali gus memerintah negeri ini,” katanya semasa ditemui pada Mesyuarat Tahunan Cawangan Berkelompok Gagasan Rakyat Bahagian Petagas, di sini, kelmarin.
Beliau berkata, pengundi muda di Petagas juga sudah mencecah 60 peratus. Keseluruhan pengundi di Petagas adalah 18,000 sehingga 19,000 orang.
“Bagaimanapun, kita masih menunggu data terbaru daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Kita mahu lihat berapa pertambahan pengundi baharu.
“Banyak inisiatif juga telah dibuat bagi mendekati para pengundi muda di sini,” katanya. – Utusan Borneo
