SINDUMIN: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob menyeru rakyat Sabah agar menggunakan platform Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai landasan utama untuk menentukan hala tuju politik negeri ini tanpa terlalu bergantung kepada pihak luar.
“Kita mahu orang Sabah menggunakan landasan GRS untuk mendominasi Sabah. Gunakan kekuatan dalaman kita. Kita tidak boleh bergantung dengan orang luar,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Mesyuarat Tahunan PGRS Sindumin semalam, yang dirasmikan oleh Naib Presiden PGRS Datuk Rubin Balang.
Beliau turut menyentuh soal kerjasama politik, namun menegaskan bahawa sebarang kerjasama mestilah dilakukan atas dasar saling menghormati.
“Ini merujuk kepada tindakan beberapa parti luar yang telah mengumumkan kerusi akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeru di Sabah lebih awal tanpa rundingan.
“Kita boleh kerjasama, tapi mereka mesti hormat kita. Tapi sekarang mereka sudah umum kerusi akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri nanti, rakyat Sabah perlu faham perkara ini,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Datuk Dr Yusof menyatakan kesediaan GRS untuk bertanding secara solo pada pilihan raya akan datang, selaras dengan seruan yang dibuat oleh kepimpinan gabungan itu.
“Kita sahut seruan tanding solo. Tapi yang penting, kita perlu ada kekuatan dalaman. Kita kena kerja kuat dan ada azam yang tinggi,” katanya.
Beliau juga meluahkan keyakinan bahawa GRS adalah gabungan terbaik untuk terus menerajui pentadbiran negeri Sabah.
“Saya yakin GRS akan terus memerintah Sabah. Kita hanya perlu terus bekerja keras dan memperkukuhkan perpaduan,” kata Dr Yusof. – SNT
