Guru Murabbi penentu masa depan umat

KOTA KINABALU: Golongan pendidik digesa untuk terus memimpin dan menyumbang kepada masyarakat, bukan sekadar menjalankan tugas mengajar di bilik darjah.

Demikian antara intipati ucapan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan dalam Himpunan Pendidik dan Sambutan Hari Guru anjuran Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah yang diadakan di sini.

Katanya, tugas guru bukan hanya menyampaikan silibus, tetapi mencorak arah umat dan membina generasi rabbani yang berprinsip.

“Guru adalah arkitek iman dan akhlak anak-anak.

“Dalam dunia yang penuh kekeliruan hari ini, guru berperanan sebagai kompas umat,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Beliau turut menyeru agar para guru tidak terperangkap dalam rutin, sebaliknya tampil sebagai tokoh masyarakat dan aktivis dakwah yang menyumbang idea serta memimpin perubahan.

“Kita mahu guru-guru PASTI, SRITI dan SMITI dikenali sebagai penasihat umat, bukan sekadar pengajar.

“Jadilah guru yang menulis, mengajak dan menyumbang, bukan hanya mengikut dan menunggu arahan,” tambah beliau.

Majlis malam itu juga menyaksikan penyampaian anugerah khas kepada guru-guru terpilih yang telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam mendidik anak bangsa dan menyumbang kepada gerakan pendidikan Islam.

Beliau juga menegaskan bahawa peranan guru murabbi bukan sekadar mendidik, tetapi membina tamadun umat secara berterusan.

“Tema :Guru Murabbi Membina Generasi Rabbani’ bukan hanya sekadar slogan, tetapi ia adalah identiti guru-guru yang patut dipegang dalam selama mana mendidik anak bangsa,” ujarnya.

Majlis turut diserikan dengan persembahan pelajar, tayangan video khas, serta jamuan meraikan para pendidik dari seluruh pelosok negeri Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *