KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyeru rakyat agar terus menghormati perbezaan antara satu sama lain bagi memperkukuh ikatan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Menurut beliau, perpaduan yang kukuh hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu dan saling menghargai kepelbagaian yang wujud dalam kalangan masyarakat.
“Justeru, saya menyeru kepada rakyat untuk terus bersama kerajaan sebagai rakan kongsi untuk memperkuatkan perpaduan dan mengekalkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat serta kelancaran pembangunan negeri yang tercinta ini,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Pesta Kaamatan 2025 yang disampaikan di sini, pada Khamis.
Hajiji berkata, sambutan Pesta Kaamatan bukan sekadar menghargai hasil tuaian, tetapi juga memainkan peranan penting dalam mengeratkan silaturahim dan perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Namun lebih daripada itu, Kaamatan adalah cerminan keharmonian dan semangat muhibbah dalam kalangan rakyat Sabah, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, saling menghormati dan kebersamaan,” jelasnya.
Mengulas tema sambutan tahun ini, “Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan”, beliau berkata ia membawa mesej yang mendalam dan inklusif.
“Tema ini jelas menyatakan bahawa Pesta Kaamatan bukan hanya milik satu komuniti, tetapi merupakan perayaan bersama yang merangkumi semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan selamat menyambut perayaan kepada seluruh rakyat Sabah.
“Saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Pesta Kaamatan, Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan kepada seluruh masyarakat yang meraikannya,” ujar beliau.
