KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak perlembagaan negeri terhadap 40% hasil persekutuan sebagai detik bersejarah yang menandakan kemenangan besar buat rakyat Sabah.
Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Sabah Law Society (SLS) atas kejayaan bersejarah itu, yang menurutnya memperkukuh semula prinsip perlembagaan sebagaimana termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan — bahawa Sabah berhak menikmati 40% hasil persekutuan yang dijana daripada negeri ini.
Menurut Salleh, keputusan mahkamah tersebut mengesahkan bahawa hak Sabah bukan sekadar janji politik yang manis di bibir, tetapi adalah tanggungjawab perlembagaan yang wajib ditunaikan dengan penuh keikhlasan, ketelusan dan semangat kerjasama antara kerajaan negeri dan persekutuan.
“Ini bukan sekadar kemenangan undang-undang, tetapi kemenangan moral untuk seluruh rakyat Sabah yang percaya kepada keadilan, perkongsian sejati, dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya berharap keputusan ini akan membuka lembaran baharu hubungan antara Sabah dan Putrajaya — satu hubungan yang lebih matang, saling menghormati, serta berasaskan dialog membina dan semangat perpaduan yang menjadi asas pembentukan negara kita,” katanya dalam kenyataan yang dipetik FMT.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini memutuskan bahawa kerajaan persekutuan telah bertindak menyalahi undang-undang kerana gagal menunaikan hak 40% hasil persekutuan milik Sabah selama hampir lima dekad.
SLS memfailkan semakan kehakiman pada tahun 2022 selepas mendakwa kerajaan persekutuan telah melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan tidak menjalankan semakan hasil wajib setiap lima tahun sejak tahun 1974.
