Ibu Pejabat MPP kini bangunan hijau pertama di Sabah

PENAMPANG: Dalam usaha memperkukuh amalan kelestarian dan inovasi dalam perkhidmatan awam, Majlis Perbandaran Penampang (MPP) mencatat satu kejayaan bersejarah apabila Ibu Pejabatnya secara rasmi menerima Sijil Pengiktirafan Green Building, menjadikannya bangunan kerajaan pertama di Sabah menerima pengiktirafan berkenaan.

Pengiktirafan itu diumumkan semasa satu majlis rasmi yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, yang turut merasmikan Aplikasi e-Adu serta Command Centre MPP dalam satu acara bersepadu pagi ini.

Joachim berkata, pencapaian itu merupakan bukti jelas komitmen MPP dalam menyahut cabaran global berkaitan perubahan iklim, pengurusan tenaga serta pengurangan pelepasan karbon.

“Ia merupakan satu pencapaian yang membanggakan. Pengiktirafan Green Building ini mencerminkan komitmen MPP untuk mengurus bangunan secara mampan, melalui langkah-langkah seperti pemasangan sistem solar, penggunaan peralatan cekap tenaga serta penggunaan lampu LED,” katanya pada perasmian majlis itu, kelmarin.

Joachim berkata, kejayaan itu adalah selari dengan matlamat kerajaan negeri untuk menjadikan Sabah sebagai negeri yang pintar, mampan dan responsif terhadap isu-isu alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, pengiktirafan Green Building diberikan kepada bangunan yang memenuhi piawaian kelestarian, termasuk kecekapan tenaga, pengurusan air, penggunaan bahan binaan mesra alam serta reka bentuk yang menyokong kitar semula dan pengudaraan semula jadi.

Menurutnya, kejayaan MPP ini juga bertepatan dengan teras Ketiga dalam Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menumpukan kepada Kesejahteraan Rakyat dan Kelestarian Alam, termasuk pembangunan mampan dan teknologi hijau sebagai antara tumpuan utama.

Joachim turut memuji keberanian MPP dalam mencuba teknologi baharu yang bukan sahaja menjimatkan kos operasi jangka panjang, tetapi juga menyumbang kepada usaha global menangani perubahan iklim.

Selain itu, pelancaran Aplikasi e-Adu dan Command Centre MPP turut menandakan permulaan era baharu dalam tadbir urus digital dan pengurusan berasaskan data di peringkat kerajaan tempatan.

“Pendekatan baharu ini menggambarkan bagaimana MPP bergerak ke arah sebuah bandar pintar atau ‘Smart City’, yang berpaksikan teknologi dan data untuk meningkatkan kecekapan serta kualiti hidup rakyat,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *