Ilmu tidak kenal usia, 60 graduan kelas dewasa diraikan

TAWAU: Usaha meningkatkan literasi masyarakat luar bandar terus membuahkan hasil apabila seramai 60 peserta Kelas PLF Hakiki dan Kelas LEADS P.191 Kalabakan diraikan dalam Majlis Graduasi anjuran KEMAS Daerah Tawau.

Mereka terdiri daripada lelaki dan wanita pelbagai peringkat usia dari Kampung Pasir Putih, Padang Terbang, Mentadak Baru, Sim Sim Wallace Bay dan Airport Lama.

Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Samasuddin Yusop berkata, program kelas dewasa itu adalah sebagai kesinambungan dasar pembangunan rakyat yang digagaskan pemimpin terdahulu.

Katanya, inisiatif berkenaan adalah warisan perjuangan Allahyarham Tun Abdul Razak yang menjadikan pendidikan sebagai asas membina bangsa.

Menurutnya, UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika itu membuka ruang pendidikan luar bandar melalui KEMAS dan hari ini dasar itu terbukti terus memberi manfaat kepada masyarakat.

“Penglibatan golongan dewasa kembali menimba ilmu wajar dijadikan contoh kepada generasi muda.

“Kalau dulu anak-anak perlu dipujuk ke sekolah, hari ini mereka melihat sendiri ibu atau bapa berdiri di pentas menerima sijil. Contoh ini jauh lebih bermakna daripada seribu nasihat,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan, baru-baru ini.

Samasuddin berkata, sijil yang diterima graduan bukan sekadar simbol kejayaan, sebaliknya menjadi penyuluh semangat kepada keluarga dan masyarakat agar cahaya ilmu terus menerangi kehidupan.

“Program ini perlu diteruskan supaya lebih ramai penduduk luar bandar dapat menikmati faedahnya.

“Dasar yang lahir daripada perjuangan parti yang peduli rakyat ini mesti diteruskan kerana inilah asas membangunkan bangsa,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *