Infrastruktur sekolah agama negeri perlu diberi perhatian

SANDAKAN: ADUN Dilantik, Dr. Aliakbar Gulasan berharap sebahagian Bajet Tambahan 2025 Negeri Sabah perlu diberi tumpuan kepada sekolah agama negeri (SAN).

“Saya minta daripada bajet ini sebahagiannya perlu diberi tumpuan kepada sekolah agama negeri sama ada pembinaan, baik pulih ataupun penambahan guru-guru,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan sekolah daif di negeri ini terdiri daripada sekolah-sekolah agama negeri.

“Saya yakin sekolah ini sekolah asas duduk di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

“Bukan hanya setakat daif tapi ada sebahagian kampung dan pedalaman masih belum ada SAN,” ujarnya.

Beliau membangkitkan perkara itu ketika menyampaikan ucapan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan di DUN Sabah baru-baru ini.

“Saya yakin kerajaan terlalu banyak insentif ke arah itu dan saya minta ianya perlu diperkasakan khususnya dari sudut struktur fizikal sekolah,” katanya lagi.

Selain itu, Aliakbar juga turut mencadangkan bagi kampung dan pedalaman yang belum mempunyai sebuah sekolah agama boleh menggunakan bangunan sekolah kerajaan sedia ada.

“Saya ingat ini di antara yang pernah saya sebut sebelum ini di dewan ini. Mungkin boleh diadakan perbincangan di antara pihak kerajaan, dengan JHEAINS ini supaya sekolah kerajaan juga boleh digunakan menjadi Sekolah Agama Negeri.

“Kalau sekolah itu ada satu sesi, sebelah petang mungkin sekolah agama boleh digunakan di bangunan yang sama,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *