Inisiatif luar biasa SMJ, cecah RM1.33 bilion bantu pelajar Sabah

TUARAN: Kerajaan negeri melaksanakan banyak inisiatif yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk membantu pelajar di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, belum pernah sebelum ini begitu banyak inisiatif dilaksanakan bagi pembangunan modal insan dan pendidikan di negeri ini.

“Dalam tempoh hampir lima tahun, kita membelanjakan sejumlah RM1.33 bilion untuk tujuan ini,” katanya pada majlis perasmian Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung, yang dinamakan sempena nama beliau, di Topokon dekat sini kelmarin.

Hajiji berkata, biasiswa negeri yang diagihkan kepada pelajar tahun ini juga meningkat kepada RM138 juta berbanding kira-kira RM50 juta sebelum ini.

Namun katanya, jumlah berkenaan masih belum mencukupi, dan beliau meminta Setiausaha Kerajaan Negeri untuk menambah peruntukan tahun depan supaya lebih ramai pelajar Sabah yang cemerlang dapat menikmati bantuan itu.

Menurutnya, kerajaan negeri juga menyediakan bantuan tunai RM200 kepada kira-kira 40,000 pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) setiap tahun.

“Saya faham dalam kalangan 40,000 pelajar ini, pasti ada yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

“Saya masih ingat ketika saya hendak menduduki peperiksaan LCE (Lower Cambridge Examination) pada 1971, ibu saya terpaksa pergi meminjam wang daripada saudara-mara untuk membayar yuran peperiksaan sebanyak RM15. Jadi saya amat memahami betapa sukarnya keadaan itu,” katanya.

Hajiji turut memberi jaminan pembangunan modal insan dan pendidikan akan terus menjadi keutamaan utama kerajaan negeri masa kini.

Katanya, pembangunan modal insan dan pendidikan adalah tumpuan utama pembangunan negeri secara keseluruhan di bawah Hala Tuju SMJ.

“Kita mencapai kemajuan ketara dalam membangunkan ekonomi Sabah melalui sektor pertanian, pelancongan dan perindustrian. Namun perjuangan kita tidak akan lengkap jika kita gagal membangunkan sektor pendidikan.

“Saya menggesa para guru supaya membantu menyampaikan maklumat yang tepat mengenai dasar serta program pembangunan kerajaan.

“Jangan terpengaruh dengan fitnah dan pembohongan pihak pembangkang. Mereka tidak nampak semua pencapaian kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, rekod pencapaian kerajaan negeri dalam membawa masuk pelaburan berimpak tinggi ke Sabah dan mewujudkan peluang pekerjaan sudah terbukti.

“Kalau betul kita buat salah, kenapa begitu ramai pelabur datang ke Sabah,” katanya, sambil menambah terbaharu ialah syarikat dari Singapura yang akan melabur sebanyak RM31 bilion dalam tiga fasa di Sipitang.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyaksikan majlis pemotongan kek perpisahan bagi meraikan persaraan Guru Besar SK Bundung, Grace Subramaniam.

Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Panglima Jahid Jahim. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *