Jangan ambil mudah sokongan rakyat – Salleh

KOTA KINABALU: Pemimpin dan ahli UMNO diingatkan agar tidak mengambil mudah sokongan rakyat, memandangkan sokongan terhadap mana-mana parti politik tidak kekal dan boleh berubah mengikut suasana politik yang sentiasa dinamik.

Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Dr. Salleh Said Keruak dalam hantarannya di Facebook kelmarin mengingatkan bahawa banyak parti politik sebelum ini tumbang kerana terlalu selesa dan menganggap kemenangan lama akan berulang tanpa menyedari perubahan mood pengundi.

Menurut beliau, pengundi kini lebih bijak dan peka terhadap isu-isu sebenar yang memberi impak kepada kehidupan mereka seperti kos sara hidup, pekerjaan, integriti, dan kejujuran pemimpin.

“Oleh itu, UMNO dan pemimpin parti harus lebih prihatin terhadap suara rakyat dan bukan hanya turun padang ketika musim pilihan raya umum,” tulis beliau.

Salleh juga menegaskan bahawa peranan media sosial tidak boleh dipandang ringan kerana ia mampu mengubah sentimen rakyat dalam sekelip mata.

Beliau menambah bahawa sokongan rakyat perlu diusahakan dengan memberi bukti kerja yang nyata, menunjukkan sikap rendah diri, dan yang paling penting, mendengar serta memahami masalah rakyat.

Kesimpulannya, Salleh menegaskan bahawa sekiranya parti gagal memahami kehendak dan aspirasi rakyat, mereka akan memilih pemimpin yang lebih memahami dan peka terhadap keadaan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *