KOTA KINABALU: Setiausaha Politik kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Roger Yapp mengecam tindakan segelintir pihak yang cuba memutarbelitkan video Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika meraikan persembahan tarian tradisi di Sabah.
Beliau menjelaskan bahawa amalan menyelitkan wang kertas di jari penari adalah adat budaya tempatan yang sudah lama diamalkan sebagai simbol penghormatan, penghargaan dan galakan kepada penari yang menghidupkan warisan seni masyarakat setempat.
“Ini bukan isu lain, sebaliknya satu bentuk penghormatan. Dalam tradisi masyarakat Sabah, pemberian wang kepada penari semasa persembahan adalah tanda terima kasih kepada mereka yang berusaha mengekalkan seni budaya kita,” katanya.
Roger menegaskan, penghinaan terhadap budaya serta adat suku kaum Sabah tidak boleh diterima sama sekali.
Beliau mengingatkan agar semua pihak tidak menyemarakkan api perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia, sebaliknya belajar untuk memahami dan hidup bermasyarakat dengan saling menghormati.
“Orang yang tidak faham jangan sewenang-wenangnya membuat tuduhan liar.
“Rakyat Sabah berbangga dengan adat serta budayanya yang pelbagai, dan sesiapa yang datang ke negeri ini seharusnya belajar menghormati, bukan menghina,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa BN Sabah akan terus mempertahankan keharmonian dan menghargai kepelbagaian budaya sebagai asas kekuatan negeri ini. – Utusan Borneo