Jangan politikkan isu infrastruktur asas – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Isu infrastruktur asas seperti jalan raya tidak sepatutnya dijadikan sebagai ‘senjata’ politik.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, rakyat berhak mendapat kemudahan yang selamat dan sempurna tanpa mengira latar belakang politik di kawasan mereka.

Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag ini berkata, tanggungjawab membaiki dan menyelenggara jalan raya terletak pada kerajaan negeri melalui agensi yang bertanggungjawab iaitu Jabatan kerja Raya (JKR) Negeri Sabah.

Menurutnya, jalan raya yang rosak bukan hanya menyusahkan rakyat, malah boleh mencetuskan kemarahan kerana seolah-olah kerajaan tidak prihatin terhadap keperluan asas mereka.

“Saya lihat ada kerja-kerja membaik pulih jalan-jalan berlubang sedang dijalankan di pelbagai tempat, termasuklah pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo.

“Namun, berbeza di jalan-jalan utama di kawasan saya, khususnya di sekitar Bukit Garam, Sukau dan laluan utama dari Sandakan ke Lahad Datu yang melalui kawasan Kinabatangan, langsung tidak diberikan perhatian.

“Hingga ke hari ini, tiada sebarang tanda kerja-kerja baik pulih atau penyelenggaraan akan dijalankan. Jalan raya di kawasan ini sangat rosak, berlubang-lubang dan membahayakan pengguna,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, situasi sedemikian menimbulkan persoalan sama ada terdapat unsur politik kepartian dalam pengagihan kerja-kerja penyelenggaraan berkenaan.

Bung Moktar turut mempersoalkan sama ada keadaan itu berlaku disebabkan oleh perbezaan politik?

“Ini tidak sepatutnya berlaku. Keutamaan sepatutnya diberikan kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat, bukan berdasarkan siapa wakil rakyat di kawasan itu.

“Oleh itu, saya memohon dan mendesak agar Kerajaan Negeri Sabah segera melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan di kawasan Kinabatangan, termasuk di kawasan bulatan Pekan Bukit Garam dan kawasan bulatan menuju simpang Sukau, tanpa sebarang diskriminasi politik,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berharap berkenaan terus diberi perhatian serius demi kepentingan rakyat dan pengguna jalan raya di Sabah, khususnya di kawasan Kinabatangan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *