Janji Penaksir Bebas Tinggal Kosong, GRS Menipu Rakyat Dalam Isu MA63 – Suhaimi Nasir

SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah melakukan pembohongan terbesar terhadap rakyat Sabah berhubung isu tuntutan hak 40 peratus hasil negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, sehingga kini kerajaan GRS gagal melaksanakan satu pun langkah konkrit dan janji melantik penaksir bebas hanya tinggal retorik kosong, manakala rakyat terus disajikan dengan alasan basi serta jawapan kabur.

Menurut Suhaimi, pada 7 Mac 2024 Datuk Seri Bung Moktar Radin pernah mencadangkan pelantikan penaksir bebas bagi menyelesaikan isu ini secara tuntas. Namun, pada 22 April 2024, Menteri Kewangan negeri Masidi Manjun hanya menjanjikan rundingan berfasa dan penaksir bebas jika gagal, yang kini terbukti sekadar propaganda.

Beliau turut merujuk mesyuarat teknikal MA63 di Putrajaya pada 13 Mac 2025 yang menetapkan rundingan rasmi pada 30 Jun 2025, di mana Julita Majungki dengan penuh yakin menegaskan penaksir bebas mesti dilantik jika rundingan gagal. Namun, katanya, mesyuarat itu tidak pernah berlangsung, malah lebih memalukan apabila Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jeffrey Kitingan sendiri mengaku tidak dijemput, bukti kelemahan kepimpinan negeri.

“Hingga Ogos 2025, masih tiada tindakan konkrit. Tiada data, tiada penaksir bebas, tiada hasil. Yang ada hanyalah alasan kononnya 12 September akan ada perbincangan dan gula-gula interim dinaikkan kepada RM600 juta. Itu pun digembar-gemburkan sebagai kejayaan, sedangkan hak sebenar rakyat Sabah jauh lebih besar daripada suapan kecil itu,” katanya.

Suhaimi turut mengecam kenyataan Timbalan Ketua Menteri Datuk Shahelmey Yahya yang menyeru GRS diberi mandat dalam PRN17 bagi memastikan agihan 40% hasil negeri dapat diteruskan.

“Soalnya mudah, kalau sekarang pun gagal, apa lagi selepas PRN? Rakyat Sabah tidak bodoh. Jangan cuba memperbodohkan mereka di dalam dewan mahupun di medan pilihan raya,” tegasnya.

Katanya lagi, kegagalan GRS dalam isu MA63 jelas dilihat melalui retorik Masidi, “wayang” Julita, pembohongan Shahelmey dan kelemahan Jeffrey.

“Mereka bukan sekadar lemah mentadbir, tetapi terang-terangan melakukan penipuan politik. Seperti peribahasa Melayu, rakyat kini hanya ‘menanti bulan jatuh ke riba’. Malah, GRS ibarat ‘menjunjung biawak hidup’, terjerat dengan janji sendiri lalu menyusahkan rakyat,” katanya.

Jelas beliau, persoalan pokok yang harus dijawab oleh GRS ialah: mana penaksir bebas yang dijanjikan, mana data yang dijanjikan, dan mana hasil 40% yang dijanjikan.

“Jawapannya jelas hilang ditelan pembohongan GRS. Mereka bukan sekadar gagal, tetapi adalah pembohong politik terbesar dalam sejarah Sabah,” katanya lagi. – Borneo News Network

2 thoughts on “Janji Penaksir Bebas Tinggal Kosong, GRS Menipu Rakyat Dalam Isu MA63 – Suhaimi Nasir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *