Jika benar ada salah tadbir urus, Kerajaan negeri wajar rombak MUIS – Suhaimi

KOTA KINABALUKetua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa kerajaan negeri perlu bertindak tegas sekiranya benar wujud sebarang bentuk salah tadbir urus atau penyalahgunaan kuasa dalam Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Beliau berkata, rombakan menyeluruh terhadap kepimpinan dan struktur pentadbiran MUIS perlu dilakukan bagi memastikan institusi itu kembali berfungsi dengan amanah dan berintegriti.

“Institusi agama seperti MUIS bukan sekadar badan pengurusan, tetapi merupakan amanah besar bersumberkan tanggungjawab syariah dan moral untuk menjaga kepentingan umat Islam di Sabah, termasuk urusan zakat, wakaf dan pembangunan ummah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut beliau, tadbir urus yang adil dan telus adalah satu bentuk ibadah dalam Islam.

Suhaimi turut memetik firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 27:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya serta janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang diserahkan kepada kamu sedangkan kamu mengetahuinya.”

Katanya, sebarang pelanggaran amanah bukan sahaja merupakan kesalahan pentadbiran, tetapi juga satu bentuk pengkhianatan terhadap tanggungjawab agama.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri tidak boleh berdiam diri atau bersikap defensif dalam isu melibatkan integriti institusi Islam.

“Jika ada bukti salah tadbir, tindakan mesti diambil bukan sekadar siasatan dalaman, tetapi melalui reformasi struktur dan pengukuhan sistem audit yang lebih telus,” tambahnya.

Suhaimi berkata, umat Islam di Sabah berhak melihat MUIS menjadi contoh kepada tadbir urus yang bersih, amanah dan berintegriti — bukannya tempat perlindungan kepada kepentingan politik atau peribadi. – UMNO Online

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *