KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali menzahirkan harapan agar semua parti dan ahli politik di Sabah bersatu.
Katanya, Sabah akan menjadi lebih kuat dan ada kuasa tawar-menawar yang lebih besar jika pelbagai parti dapat bersatu di bawah satu gabungan, seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau dipetik sebagai berkata demikian oleh Malaysiakini dalam laporannya semalam.
Dalam laporan itu Armizan yang juga Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut ditanya pandangannya mengenai pendapat yang mengatakan Sabah tidak setegas Sarawak dalam menuntut hak negeri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
Menjawab soalan itu beliau berkata, “Saya rasa antara sebabnya adalah kita terpecah, tiada satu suara. Kalau satu pihak bersuara, pihak lain tak akan sokong.
“Jadi bila tidak ada suara yang kuat dan bersatu, maka sukar untuk kita bangkitkan syor dan pandangan kepada kerajaan persekutuan, untuk berunding dengan kerajaan persekutuan.”
Ditanya jika dia melihat Sabah akan mampu memiliki gabungan yang bersatu seperti GPS dalam masa terdekat, Armizan mengharapkan demikian namun mengakui ia bukan sesuatu yang mudah.
Menurutnya, Sabah berbeza dengan Sarawak memandangkan kerajaan negerinya turut dianggotai parti dari Semenanjung.
“Saya harap semua pemimpin di Sabah, pada satu masa, dapat duduk bersama. Mereka boleh bekerja bersama dalam satu gerakan.
“Kalau kita sayang dan nak pelihara hak serta kepentingan Sabah, kita tidak boleh ada perpecahan,” katanya lagi.
