KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya perlu mengosongkan kerusi itu sekiranya bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN akan datang.
Menegaskan mengenai perkara itu Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ia selaras peruntukan dalam akta antilompat parti mana-mana Ahli Parlimen sengaja keluar parti perlu mengosongkan kerusinya.
“Dia perlu kosongkan kerusinya (Parlimen Putatan) jika sertai parti lain seperti termaktub dalam akta antilompat parti,” kata Bung, sebagaimana dilaporkan FMT semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor bahawa Shahelmey mungkin bertanding bawah gabungan itu.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri dan ADUN Tanjung Keramat memenangi kerusi Parlimen Putatan atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU15.
Namun, keahliannya digantung oleh UMNO selama enam tahun sejak Mac 2023 kerana tidak mengikut ketetapan parti untuk menarik sokongan kepada Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah menerusi apa yang disebut sebagai ‘Langkah Kinabalu’.
