KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak menyebarkan fitnah ke atas beliau, termasuk dakwaan kononnya beliau berasal dari Filipina.
Beliau yang juga Naib Presiden WARISAN berkata, tuduhan itu adalah satu pembohongan yang nyata dan bermotif politik.
Katanya, semua tuduhan yang mengatakan Presiden berasal dari Filipina adalah fitnah. Buktinya jelas kubur datuk dan bapa beliau semua berada di Semporna. Itu fakta sejarah dan boleh disemak.
“Kenapa isu ini tidak pernah ditimbulkan ketika Shafie masih muda dan menuntut di United Kingdom bersama tokoh Sabah lain seperti Yong Teck Lee, mahupun semasa beliau berkhidmat dalam tujuh kementerian di peringkat Persekutuan termasuk sebagai Timbalan Menteri Pertahanan.
“Kenapa masa itu tiada siapa bangkitkan isu ini? Sebab semua tahu Shafie memang anak jati Sabah. Sekarang baru digunakan sebagai modal politik kerana pihak lawan sudah kehabisan isu,” katanya.
Junz turut menolak dakwaan kononnya pentadbiran WARISAN ketika menjadi kerajaan Sabah telah memberikan kad pengenalan (IC) kepada pendatang tanpa izin (PTI).
Katanya, perkara itu telah dijelaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika itu.
“Kalau WARISAN ada bagi IC kepada PTI, sila bongkarkan. Tapi dijawab dalam DUN sendiri tidak ada IC diberi kepada PTI kerana kerajaan negeri tidak ada kuasa berikan IC,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa Shafie Apdal adalah daripada suku kaum Bajau yang diiktiraf sebagai ‘native’ atau anak negeri Sabah di bawah Perlembagaan Malaysia.
“Jangan gunakan kenyataan berbaur perkauman dan fitnah untuk jatuhkan pemimpin. Kalau mahu lawan, lawanlah secara adil. Gunakan isu rakyat, bukan serangan peribadi,” katanya.
Sebelum ini, Shafie menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Chin yang menuduhnya sebagai bukan warganegara dan asal dari Filipina.
Menurut Junz, tindakan undang-undang ini penting bukan sahaja untuk membersihkan nama Presiden parti, tetapi juga bagi memastikan politik fitnah tidak menjadi budaya dalam sistem demokrasi negara. – Utusan Borneo
