KOTA KINABALU: Pesta Kaamatan tahun ini diraikan secara lebih inklusif, melibatkan penyertaan seluruh lapisan masyarakat dan tidak hanya terbatas kepada komuniti Kadazan Dusun Murut (KDMR).
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan, menyatakan bahawa tema “Kaamatan Untuk Semua” bertujuan membuka peluang kepada pelbagai golongan masyarakat untuk turut serta dalam sambutan tersebut.
Beliau memaklumkan, selain acara tradisional seperti Sugandoi dan Unduk Ngadau, pelbagai pertandingan lain turut dianjurkan termasuk pertandingan memasak, layanan serta hasil kraftangan.
Dr Jeffrey turut menekankan bahawa Pesta Kaamatan kali ini bukan hanya menumpukan kepada aspek menuai semata-mata, tetapi diperluaskan sebagai pesta menanam dengan penanaman tujuh jenis herba bernilai yang kini hampir pupus.
“Langkah ini adalah salah satu usaha untuk memelihara spesies herba yang semakin sukar didapati dan mempunyai nilai tinggi,” jelas beliau.
Selain persembahan kebudayaan, sambutan tahun ini turut menjadi platform bagi Dialog Antara Budaya (Intercultural Dialogue) yang akan membincangkan aspek budaya tempatan dengan penglibatan negara-negara luar.
“Melalui dialog ini, kita dapat memahami dan meraikan budaya lain. Setakat ini, dialog telah dijalankan bersama Indonesia, Korea dan negara jiran, Filipina,” tambahnya.
Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, berkata demikian kepada media selepas sesi rakaman bersama RTM Sabah di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, semalam.
Sumber berita dan foto: Jeffrey G. Kitingan Page
