KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan menyambut baik kenyataan TYT Gabenor Sarawak mengenai campur tangan berterusan kuasa persekutuan ke dalam bidang kuasa negeri.
Menurut beliau, pendirian Gabenor Sarawak berhubung Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 sejajar dengan kebimbangan lama yang turut dikongsi rakyat Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Namun bagi Sabah, isu ini bukan sahaja terhad kepada petroleum dan alam sekitar. Banyak undang-undang persekutuan lain telah melucutkan kuasa serta hasil yang sepatutnya menjadi hak negeri,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Jeffrey menegaskan bahawa beberapa undang-undang persekutuan telah melemahkan kedudukan Sabah, antaranya Akta Laut Wilayah 2012 yang mengurangkan sempadan maritim negeri kepada hanya tiga batu nautika, menyebabkan kehilangan kawalan ke atas sumber luar pesisir.
Selain itu, Akta Perikanan 1985 memusatkan pelesenan marin di Putrajaya, sekali gus menjejaskan kuasa Sabah terhadap ekonomi masyarakat pesisir. Walaupun terdapat penurunan kuasa baru-baru ini, katanya ia tidak bermakna kerana Sabah masih tertakluk kepada undang-undang persekutuan.
“Akta Bekalan Elektrik 1990 pula menghapuskan kedaulatan negeri dalam bidang bekalan kuasa, menyebabkan Sabah bergantung pada agensi dan keputusan luar,” katanya.
Menurut Timbalan Ketua Menteri I itu lagi masih terdapat undang-undang lain yang wajar dikenal pasti dan dicabar, justeru kajian perundangan serta perlembagaan menyeluruh perlu dijalankan untuk mendedahkan sejauh mana campur tangan itu berlaku.
Jeffrey turut menyifatkan campur tangan persekutuan sebagai antara faktor utama yang mengekalkan Sabah dalam keadaan miskin, lemah, dan bergantung kepada kerajaan pusat – sesuatu yang bertentangan dengan janji-janji dalam MA63.
Sebagai respons, beliau menggesa tiga langkah utama diambil, iaitu semakan bersama Sabah dan Sarawak terhadap semua undang-undang persekutuan yang menyalahi pembahagian kuasa perlembagaan, pemulihan penuh hak hasil termasuk bayaran 40 peratus hasil bersih kepada Sabah, serta perlindungan perundangan mengikat di Parlimen untuk mengelakkan campur tangan persekutuan pada masa depan.
Jeffrey menegaskan bahawa hak Sabah bukanlah ihsan daripada Putrajaya, sebaliknya obligasi yang termaktub dalam perjanjian.
“Sebagai anak Sabah, saya bertekad memastikan hak negeri ditegakkan, kedaulatannya dihormati, dan masa depannya terjamin,” katanya.
