KDM namakan Wetron sebagai calon Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menamakan timbalan presidennya, Datuk Wetrom Bahanda, sebagai calon ketua menteri sekiranya parti itu memenangi pilihan raya negeri yang akan datang.

Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat majlis tertinggi di ibu pejabat parti di Penampang, dekat sini, pada Isnin.

Wetrom kini merupakan Ahli Parlimen Kota Marudu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandau.

“Kami berbesar hati mengumumkan bahawa Majlis Tertinggi KDM sebulat suara bersetuju melantik Wetrom sebagai calon Ketua Menteri sekiranya parti berjaya membentuk kerajaan.

“Cadangan ini datang daripada Presiden KDM sendiri, Datuk Peter Anthony dan kami telah membincangkan serta membuat keputusan sebulat suara,” katanya.

Peter, yang juga ADUN Melalap, kini sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun atas kes penipuan melibatkan pemalsuan tandatangan untuk mendapatkan kontrak Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi syarikatnya pada tahun 2014.

Priscella menambah, KDM bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri dan setakat ini telah mengenal pasti calon untuk lebih 40 kerusi yang akan ditandingi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *