KOTA KINABALU: Kejayaan sesebuah organisasi politik sangat bergantung kepada semangat berpasukan dan kerjasama antara semua pihak, kata bekas ketua menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (SSK).
Menurutnya, tidak kira kedudukan seseorang dalam organisasi—baik pemimpin tertinggi mahupun petugas akar umbi—setiap individu mempunyai peranan penting yang menyumbang kepada kejayaan bersama.
“Kejayaan politik bukanlah hasil usaha seorang individu sahaja, tetapi ia merupakan hasil daripada kerjasama, sokongan sesama sendiri, dan fokus kepada matlamat yang sama,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Salleh, yang juga ADUN Usukan, turut menegaskan bahawa setiap tugas dalam organisasi mempunyai nilai, sama ada berucap di pentas atau menguruskan kerja di lapangan.
“Peranan yang jelas dan ruang untuk menyumbang akan mengukuhkan organisasi,” tambah beliau.
Salleh juga mengingatkan bahawa budaya kerja berpasukan yang sihat adalah amat penting. Ahli-ahli dalam pasukan perlu merasa dihargai, didengar, dan diberikan kepercayaan agar semangat kerja berpasukan terus berkembang.
Mengulas mengenai perbezaan pendapat dan personaliti dalam pasukan, beliau menegaskan bahawa ia adalah perkara biasa.
“Yang penting adalah bagaimana kita mengurus perbezaan itu dengan berbincang secara matang, menghormati pandangan orang lain, dan tetap fokus kepada matlamat bersama,” katanya.
Beliau turut menegur sikap yang boleh merosakkan semangat pasukan, seperti serangan peribadi atau konflik dalaman.
“Perpaduan dalaman bukan bermakna semua perlu diam. Kita boleh bersuara dan memberi pandangan, tetapi dengan cara yang membina dan penuh hormat,” tambahnya.
Pemimpin, menurut Salleh, perlu menjadi contoh dalam mendengar pandangan, melibatkan semua pihak, dan menyelesaikan perbezaan dengan cara yang positif. Sikap mementingkan diri atau ego berlebihan harus ditinggalkan kerana ia boleh merosakkan semangat pasukan.
Akhirnya, beliau menyatakan bahawa sebuah organisasi politik yang kuat adalah yang bersatu atas matlamat bersama, menghargai setiap sumbangan, dan membina rasa kekitaan dalam pasukan.
“Politik bukan soal siapa yang berkuasa, tetapi bagaimana kita dapat menyatukan semua pihak untuk mencapai matlamat bersama. Bila kita bersatu, kita lebih kuat,” ujarnya.
