Kekuatan perpaduan asas kepada kemakmuran

KOTA KINABALU: Perpaduan yang kukuh adalah asas kepada kemakmuran dan kejayaan sesebuah negara.

Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman berkata, dengan perpaduan yang terjalin erat, semua pihak mampu menghadapi segala cabaran yang mendatang dan mencipta peluangpeluang holistik bagi meningkat kesejahteraan hidup bersama.

“Justeru, semangat Aidilfitri juga perlu diperteguhkan lagi melalui budaya (tolong-menolong) ikram dan keadilan sosial dalam membina masyarakat yang harmoni dan maju.

“Dalam perayaan ini, banyak inisiatif dan program kebajikan dijalankan untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Antaranya adalah pemberian sumbangan zakat, derma kepada rumah anak yatim dan bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik,” katanya pada Perutusan Khas Hari Raya Aidilfitri 2025.

Beliau berkata, dengan amalan suka berkongsi rezeki, masyarakat bukan sahaja mengimarahkan suasana Aidilfitri, bahkan ianya satu usaha yang terpuji dalam kerangka memastikan bahawa tiada golongan yang tercicir dalam menempuh arus kemajuan.

“Ini kerana sumbangan dan amal jariah yang dihulurkan pada hari raya ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik, sekali gus mencerminkan sifat keprihatinan yang tinggi golongan dermawan terhadap rakyat di negeri ini,” katanya.

Sementara itu katanya, kesihatan diri adalah aspek penting yang perlu diberikan perhatian agar masyarakat dapat menikmati perayaan dengan penuh keceriaan.

Katanya, ada kalanya ramai yang terlupa mengenai kesihatan semasa perayaan.

“Sebagai contoh, pada bulan Ramadan sering dihiasi dengan bazar-bazar Ramadan yang mempunyai pelbagai pilihan makanan.

“Manakala, semasa Hari Raya pula terdapat banyak makanan yang terhidang untuk ahli keluarga dan tetamu yang datang berkunjung.

“Dalam keseronokan mencuba pelbagai hidangan, kita cenderung untuk makan berlebihan,” katanya.

Oleh itu katanya, adalah digalakkan untuk masyarakat mengamalkan cara hidup yang sihat dan amalan kebersihan diri yang baik.

Katanya, kawal tabiat pemakanan dan lakukan aktiviti-aktiviti yang boleh memberi kesan positif terhadap kesihatan seperti bersenam dan sebagainya.

Musa turut mengingatkan bahawa aspek keselamatan perlu diutamakan dalam perayaan ini.

“Apa jua perbuatan atau perkara yang berpotensi mendatangkan musibah hendaklah dihindari sedaya upaya.

“Semua kenikmatan dan keindahan berhari raya tidak akan dapat kita rasai jika kita tidak berwaspada di setiap langkah dan amalan kita.

“Di musim perayaan ini, sentiasalah berhati-hati semasa memandu dengan mematuhi peraturan-peraturan jalan raya.

“Kepada yang memandu kenderaan untuk pulang ke kampung masing-masing, pandulah dengan berhati-hati supaya selamat sampai ke destinasi.

“Periksalah kenderaan masing-masing sebelum memulakan perjalanan dan mengutamakan keselamatan orang-orang yang tersayang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Aidilfitri bukan hanya sekadar satu perayaan agama, tetapi menjadi medan untuk mengeratkan lagi hubungan dan persefahaman antara ahli keluarga, jiran tetangga, rakan taulan dan masyarakat.

Katanya, Aidilfitri menyediakan peluang untuk memperkukuh ukhuwah dan semangat perpaduan melalui tradisi ziarah, amalan bersalam-salaman dan bermaaf-maafan dalam kalangan rakyat yang memiliki kepelbagaian etnik serta budaya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *