Saya membaca kenyataan Presiden USNO, Pandikar Amin Mulia, dengan senyuman. Bukan kerana hebat hujahnya, tetapi kerana ia mengingatkan saya kepada peribahasa lama, bagai tikus membaiki labu.
Pandikar bercakap soal hak, pembangunan dan integriti, tetapi rekodnya penuh dengan lompatan politik dan legasi kelembapan. Inilah masalahnya apabila cuba menulis semula sejarah dengan membuang bab kegagalan sendiri.
Tahniah Pandikar, kerana mengesahkan sendiri bahawa semua ini adalah DNA UMNO. UMNO-BN ialah parti bersifat mati atau wahana, mereka yang berada dalam parti itu sejak 1991 hingga 2018 tidak pernah menginsafi kelemahan, malah gagal memperbetulkan kelembapan.
Untuk makluman, saya tidak pernah berada dalam kerajaan BN-GRS, yang ada hanya kerajaan BN-PN. Perjuangan saya konsisten, berprinsip dan berpaksikan rakyat berbeza dengan rekod Pandikar yang melompat tanpa maruah.
Dari USNO ke AKAR, ke USBO, ke UMNO-BN, cuba masuk PKR ketika tekanan SPRM memuncak, sebelum pulang semula ke USNO di usia senja. Soalnya, adakah semua ini demi rakyat atau sekadar mencari lubang baru untuk kuasa?
Hari ini Pandikar berlagak pejuang parti tempatan dominan. Tetapi sejarah membuktikan, dia sendiri gagal mempertahankan parti tempatan. USNO musnah, USBO lenyap, akhirnya berlindung di bawah BN-UMNO. Realitinya jelas, parti sendiri tidak mahu lagi menyimpan beliau.
Pandikar menuduh kerajaan hari ini mewarisi kelembapan. Tetapi bukankah itu juga legasi beliau bersama BN? Hajiji, Masidi Manjun, Nizam Titingan, Ariffin Arif semuanya rakan seperjuangan beliau dahulu. Mereka silih berganti menukar baju parti, tetapi kelembapan yang ditinggalkan tetap sama. Kalau benar mahu jujur, Pandikar sepatutnya berkata “Kami di GRS mahu betulkan legasi kelembapan yang kami tinggalkan semasa dalam BN.”
Tentang integriti, biarlah saya ingatkan mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Rakyat tidak lupa rakaman video lama, tidak lupa imej pemimpin GRS yang dihina hingga jadi bahan lawak. Apabila rakyat sudah hilang hormat, integriti Pandikar hanya menambah tohmahan.
Jangan berbangga dengan Pan Borneo 80%. Itu hanya Fasa 1A, sedangkan keseluruhan projek masih terkial-kial. Jalan berlubang, bekalan air darurat, elektrik dicatu. Jika benar rakyat tidak meronta, kenapa setiap minggu ada protes air bersih? Inilah legasi memalukan peninggalan BN yang Pandikar juga wakili.
Pandikar mendabik dada kadar pengangguran turun 6.2%. Tetapi apakah termasuk GRAB, Foodpanda, e-hailing? Itu bukan solusi ekonomi, hanya permainan statistik. RM35 bilion pelaburan, ke mana limpahannya? Projek Mutiara Kluster diberi kepada syarikat luar. Alasan kononnya modal besar, sedangkan kerajaan negeri mampu lancar sukuk bernilai RM900 juta.
Projek mega SIOGP RM54 bilion sudah dilancar sejak 2014, era BN. Hari ini GRS menuntut kredit, padahal bekas CEO SOGDC sudah membongkar, keuntungan itu hasil rundingan lama, bukan pencapaian baru.
Lebih parah, lesen arang batu 70,000 hektar kekal misteri. Tiada penjelasan rasmi, hanya rakaman suara pemimpin yang tular menyebut “yang penting kita luluskan.” Kalau ini bukan skandal, apa lagi namanya?
Hari ini Pandikar melaungkan autonomi parti tempatan. Tetapi rakyat masih ingat, bukankah beliau dulu juga sebahagian daripada parti tempatan iaitu USNO, USBO, AKAR. Jelas, parti tempatan yang beliau laungkan hanyalah sekadar retorik. Ironinya, selepas kereta api politik bergerak, Pandikar masih ketinggalan di stesen. Hari ini kononnya pejuang parti tempatan, esok entah melompat ke mana lagi.
Kenyataan Pandikar tidak lebih daripada menembak dahi sendiri. Akuilah, bukan rakyat menolak GRS semata-mata, tetapi rakyat sudah lama menolak pemimpin usang yang hanya tahu melompat parti tanpa prinsip.
Sudah tiba masanya Pandikar berehat. Biarlah pemimpin baru yang berfikiran diluar kotak yang menerajui pentadbiran demi kesinambungan dan kemajuan negeri sabah.
Salam Merdeka ke-68.
Datuk Suhaimi Nasi
Ahli Parlimen Libaran

https://shorturl.fm/zK8mh