KOTA KINABALU: Naib Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Dr Safirah Jaan Jaafar mendedahkan bahawa penyertaannya dalam parti itu bukan sekadar keputusan politik tetapi lahir daripada kekaguman terhadap kepimpinan yang berjiwa rakyat dan berpandangan jauh.
Menurutnya, inspirasi awal datang daripada kepimpinan Almarhum Tun Mustapha, tokoh yang disifatkannya sebagai pemimpin berwibawa dan berprinsip.
Namun katanya, apa yang benar-benar menggerakkan hatinya untuk menyertai USNO ialah karakter dan pendekatan Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang dilihat mempunyai persamaan dengan Tun Mustapha.
Kecuali satu perkara, katanya berseloroh, ‘Tan Sri tak pakai songkok’.
“Pandikar seorang yang sangat terbuka, rendah hati dan menghormati semua lapisan masyarakat.
“Beliau sentiasa memberi ruang kepada pemimpin muda dan profesional untuk belajar dan berkembang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi yang menyentuh hati ketika temu janji pertama mereka, beliau tiba lewat 20 minit, namun Pandikar tetap menunggu dengan sabar.
“Itu tanda beliau seorang yang prihatin dan memahami. Saya sangat terkesan,” katanya.
Dalam pertemuan itu, Pandikar bukan sahaja bertanya tentang minat Safirah dalam politik, tetapi juga menyentuh aspek yang jarang ditanya oleh mana-mana pemimpin.
“Beliau bertanya sama ada penyertaan saya dalam politik mendapat keredhaan suami. Saya tidak sangka, dan saya sangat menghargainya,” katanya.
Safirah menyifatkan Pandikar sebagai ‘guru politik’ yang sentiasa memberi bimbingan, platform dan tunjuk ajar kepada pemimpin muda.
Safirah bukan nama asing dalam dunia akademik dan kesihatan awam.
Beliau merupakan bekas Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kelulusan dari Universiti Crimea, Ukraine dalam bidang perubatan.
Memiliki Sarjana Sains Kesihatan dari UMS serta Doktor Kesihatan Awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Kepimpinan sudah sebati dalam dirinya yang diwarisi daripada ayahnya, Jaafar Chong Abdullah @ Chong Len Fatt, dan datuknya Chong Pao Nyuk, kedua-duanya pernah menjadi Kapitan Cina di Kimanis.
Beliau kini bergelar isteri kepada Dr Mohd Shahnaz Shamsuddin dan ibu kepada tiga cahaya mata.
Safirah menyeru agar lebih ramai golongan muda dan profesional menyertai USNO.
“Parti ini perlukan darah baharu dan nafas baharu. Saya yakin masa depan USNO akan lebih gemilang,” katanya. – Utusan Borneo
