Keputusan AGC tidak merayu: Pengiktirafan penting terhadap hak 40 peratus Sabah – Salleh

KOTA KINABALU: Langkah Kerajaan Persekutuan tidak memfailkan rayuan berhubung keputusan mahkamah mengenai hak 40 peratus Pemberian Khas Sabah merupakan pengiktirafan penting terhadap kedudukan negeri ini dalam Perlembagaan.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata keputusan tersebut membuka ruang kepada Sabah untuk memasuki fasa rundingan dalam keadaan yang lebih jelas dan teratur, berasaskan asas undang-undang yang telah diputuskan oleh mahkamah.

Beliau berkata, selaras kenyataan Jabatan Peguam Negara, rundingan rasmi antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan akan dimulakan segera, seperti yang termaktub dalam semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan peruntukan Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.

“Dengan kedudukan undang-undang yang kini diperjelas, Sabah dapat bergerak ke hadapan dalam proses rundingan secara lebih tersusun dan berfakta, bukannya tenggelam dalam kekaburan seperti sebelum ini,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Salleh berkata, pada masa yang sama Kerajaan Persekutuan akan memfailkan rayuan terhad (partial appeal) terhadap beberapa dapatan teknikal dalam alasan penghakiman, khususnya berkaitan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan ketidakaturan prosedur yang berlaku sejak 1974.

Menurutnya, rayuan itu tidak menyentuh hak 40 peratus, sebaliknya bertujuan memastikan rekod perundangan negara kekal kemas dan tepat, tanpa meninggalkan isu teknikal yang berpanjangan.

Beliau menegaskan bahawa keutamaan kini adalah memastikan proses rundingan dilakukan dengan profesional, telus dan berorientasikan kepentingan rakyat Sabah, agar hasilnya membawa manfaat jangka panjang kepada negeri serta generasi akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *