TAWAU: Kerajaan negeri Sabah komited memelihara kesucian agama Islam sebagai agama rasmi, di samping memastikan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama terus terpelihara di negeri ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kerajaan negeri menyokong setiap penganjuran keagamaan yang memberi manfaat kepada semua rakyat di Sabah.
Katanya, keterbukaan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam menganjurkan pelbagai program keagamaan menjadi bukti kesungguhan kerajaan negeri memartabatkan Islam serta mendukung prinsip toleransi antara agama.
“Alhamdulillah, saya rasa teruja dan bersyukur kerana program Sabah Berselawat Siri Ketiga kali ini berjaya dilangsungkan di Perbandaran Tawau dengan kehadiran luar biasa umat Islam dari seluruh pelosok daerah ini.
“Lebih membanggakan, hampir 6,000 pengunjung membanjiri Dewan Masyarakat Tawau malam ini, menyertai program penuh pengisian yang menyemai rasa cinta kepada Rasulullah SAW,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Ketua Menteri merasmikan Program Sabah Berselawat 2025 yang dianjurkan Stesen Radio SABAHfm, kelmarin.
Menurutnya, penganjuran program berkenaan adalah hasil kerjasama erat antara kerajaan Sabah bersama Jabatan Penyiaran, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS), yang jelas menunjukkan iltizam kerajaan dalam memartabatkan agenda keagamaan.
“Program seperti ini sangat penting dalam mendidik jiwa umat Islam khususnya golongan muda dan belia agar lebih mendekati ajaran Islam serta mencontohi sunnah Nabi Muhammad SAW.
“Kita yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji, program-program sebegini akan terus diperhebat dan diperluaskan ke seluruh negeri,” katanya.
Nizam turut memberi jaminan bahawa dalam tempoh pentadbiran kerajaan negeri hari ini, umat Islam tidak perlu ragu terhadap dasar kerajaan.
Katanya, Islam akan terus dipelihara sebagai agama Persekutuan, di samping memastikan agama-agama lain terus dihormati dan diberikan ruang untuk berkembang dengan aman.
“Kita berbangga dengan sikap keterbukaan dan inklusif kerajaan hari ini yang sentiasa meraikan perbezaan serta menyokong penganjuran pelbagai program keagamaan, sama ada Islam mahupun agama-agama lain.
“Inilah kekuatan Sabah yang merupakan sebuah negeri harmoni, bersatu dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Katanya, keamanan dan kestabilan sosial yang dinikmati Sabah hari ini juga adalah hasil daripada dasar kepimpinan kerajaan negeri yang adil dan saksama dalam melayani keperluan rakyat pelbagai latar belakang.
“Insya-Allah, selagi kita berpegang kepada nilai agama dan hidup dalam suasana saling memahami, negeri ini akan terus maju di bawah agenda pembangunan yang disusun rapi oleh kerajaan,” katanya. – Utusan Borneo
