Kerja bina jalan baharu Kalabakan-Simanggaris giat dilaksanakan

KOTA KINABALU: Kerja di lapangan bagi projek membina jalan baharu dari Kalabakan ke Sempadan Malaysia–Indonesia (Simanggaris) kini giat dilaksanakan.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata, kerja-kerja di lapangan seperti kerja ukur tanah, pemetaan utiliti dan kerja penyiasatan tanah sedang giat dilaksanakan.

Katanya, ia bagi menyediakan data dan maklumat untuk melengkapkan kajian dan reka bentuk projek berkenaan.

“Pembinaan jalan baharu yang akan menghubungkan jalan sedia ada iaitu Jalan Sapulut–Kalabakan ke sempadan Malaysia–Indonesia melibatkan jajaran sepanjang 28 kilometer (km).

“Ia termasuk membina satu jalan spur yang akan menghubungkan Kampung Serudong Laut sepanjang 20km,” katanya bagi menjawab soalan Datuk Dr Yusof Yacob (Gagasan Rakyat-Sindumin) mengenai status pembinaan jajaran jalan Sabah ke Kalimantan memandangkan Indonesia sudah mula berpindah ke ibu negara baharu iaitu Nusantara.

Shahelmey berkata, kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya Malaysia sebelum ini meluluskan Kajian Awalan dan Reka Bentuk bagi projek berkenaan di bawah Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Ke-12 (RP3, RMK12).

Selain itu beliau berkata, satu lagi cadangan jalan raya menuju ke sempadan Bantul Pensiangan iaitu projek membina jalan dari Pekan Pagalungan ke Pekan Sempadan Bantul Pensiangan.

Menurutnya, projek itu sekarang dalam proses perolehan selepas diluluskan dalam RP3, RMK12 di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) biayaan kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *