Kerjasama hadapi PRN: GRS harus jadi parti dominan

BEAUFORT: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus menjadi parti dominan dalam agihan kerusi jika berlakunya kerjasama gabungan itu dengan mana-mana pihak bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Sehubungan itu gabungan tersebut harus bertanding sekurang-kurangnya 50 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sedia ada, kata Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Lumadan, Mazlan Joehari Manan.

“Apa-apa pun bentuk kerjasama politik, GRS harus dominan dalam agihan kerusi pilihan raya seterusnya dominan dalam memperjuangkan hak rakyat melalui kerajaan negeri Sabah.

“Saya secara peribadi berpendapat, GRS harus bertanding sekurang-kurangnya 50 daripada 73 kerusi DUN sedia ada, jika berhasrat mahu bekerjasama tetapi sekiranya tiada perundingan, kita bersedia bergerak solo pada PRN17,” katanya dalam kenyataan pada Isnin sebagaimana dilapor oleh Sinar Harian.

Mazlan yang juga Pegawai Khas Ketua Menteri menegaskan bahawa GRS adalah sebuah gabungan politik utama di negeri ini kerana ia mewakili denyut nadi rakyat Sabah secara menyeluruh.

“GRS bukan sekadar gabungan biasa, ia adalah satu kesatuan yang matang dan manifestasi suara rakyat Sabah yang mahukan kemajuan, kestabilan dan keadilan.

“Kami juga bukan suara kecil, kami adalah suara arus perdana. Gabungan ini adalah ‘bahtera besar’ yang membawa harapan dan masa depan wilayah ini.

“Paling penting, kita ada kuasa autonomi sebagai sebuah gabungan parti tempatan utama berbanding pihak-pihak lain,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *