Kerjasama PRN: GRS perlu berada di kerusi ‘pemandu’

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menolak kerjasama dengan parti-parti lain, tetapi menetapkan bahawa ia mestilah menerajui kerjasama tersebut bagi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Menegaskan mengenai perkara itu Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata selagi GRS mempunyai majoriti mutlak, pihaknya mengalu-alukan kerjasama seperti itu.

“Yang paling penting GRS mesti berada di tempat duduk ‘pemandu’,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Joachim yang juga Timbalan Pengerusi GRS berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar, bahawa PKR menyasarkan sekurang-kurangnya 13 kerusi dalam pilihan raya Sabah nanti.

Beliau turut menjelaskan bahawa setakat ini GRS belum mengadakan perbincangan rasmi sama ada dengan BERSATU mahupun Perikatan Nasional mengenai kerjasama menghadapi PRN.

Joachim juga enggan menyatakan berapakah kerusi yang disasarkan untuk ditandingi oleh PBS pada PRN nanti kerana menurutnya apa yang penting adalah kemenangan GRS secara keseluruhan bukannya kemenangan parti secara individu.

“Apa yang lebih penting ialah kita kenal pasti kerusi-kerusi yang boleh dimenangi oleh gabungan. GRS mesti menang. Jangan bincang dulu tentang parti-parti individu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *