Kerjasama PRN17: GRS tidak senaraikan PAS

KOTA KINABALU: PAS buat masa ini tidak tersenarai dalam proses rundingan kerjasama yang akan dibuat oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) akan datang, kata Datuk Seri Masidi Manjun.

BHarian dalam laporannya semalam memetik Setiausaha Agung GRS itu sebagai berkata langkah itu diambil berikutan kedudukan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) yang merupakan pembangkang di peringkat Persekutuan, manakala GRS pula merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“PAS berada dalam PN, jadi buat masa ini ia tidak dipertimbang untuk dimasukkan dalam kerjasama politik dengan GRS,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), di sini, hari ini.

Masidi yang juga Timbalan Presiden Gagasan Rakyat bagaimanapun berkata Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang kini adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik boleh dilantik semula menduduki kerusi itu.

Aliakbar menjadi ADUN Dilantik selepas PRN16 pada 2020 sejajar kedudukan PAS ketika itu sebagai sebahagian daripada rakan kerjasama GRS di bawah PN.

Masidi sebelum ini ditugaskan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Rundingan Gagasan Rakyat yang akan membincangkan agihan kerusi dalam kalangan parti komponen GRS dan rakan parti lain, termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Mengenai kedudukan Parti Maju Sabah (SAPP) yang ketika ini masih menjadi parti komponen PN dan turut berada dalam GRS, Masidi berkata parti itu perlu membuat keputusan mengenai pendirian mereka.

Katanya, pemimpin parti itu perlu membuat keputusan sama ada mahu berada di bawah PN atau GRS.

Sebelum ini, Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee menjelaskan parti pimpinannya akan bersama GRS pada PRN17 dan berpendirian PN tidak perlu bertanding pada pilihan raya itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *