KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan bahawa kestabilan politik yang beliau tekankan tidak bermaksud tunduk kepada mana-mana pihak, sebaliknya membina kerjasama jujur antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat.
Bekas ketua menteri Sabah itu turut menyeru agar perbezaan pendapat tidak dijadikan alasan untuk serangan peribadi.
“Politik harus dibina atas wacana yang sihat dan berasaskan gagasan, bukan kebencian,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Hantaran itu merujuk pada laporan sebuah akhbar mengenai komen seorang pemimpin NGO terhadap hantarannya terdahulu berhubung kepentingan kestabilan politik di Sabah dan tentang kenapa negeri ini tidak perlu mengikut model autonomi Sarawak.
Menurut Salleh, dalam konteks demokrasi, keputusan rakyat dalam pilihan raya perlu dihormati, tanpa mengira sama ada mereka memilih parti tempatan, nasional, atau gabungan kedua-duanya.
“Sarawak mempunyai model tersendiri, begitu juga Sabah. Kita perlu mengikut pendekatan yang sesuai dengan realiti politik di negeri ini, bukan sekadar meniru atau menolak mana-mana pihak secara mutlak,” katanya.
Salleh turut menekankan bahawa perjuangan untuk hak Sabah perlu diteruskan secara rasional dan berpijak di bumi nyata, selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
