Ketegasan GRS perkasa parti tempatan terus dapat sokongan

KOTA KINABALU: Penegasan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai komitmennya untuk memperkasakan parti-parti tempatan sebagai teras pentadbiran negeri terus mendapat sokongan, kali ini daripada Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat),  Datuk Nizam DSP Abu Bakar Titingan.

Nizam dalam kenyataan medianya hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian  Pengerusi GRS, yang juga Ketua Menteri Sabah  Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, yang mengutamakan parti-parti tempatan dalam menentukan hala tuju politik negeri.

“Sebagai Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, saya menyokong sepenuhnya pendirian bahawa parti-parti tempatan harus menjadi teras kepada pentadbiran negeri — kerana hanya parti tempatan yang benar-benar memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat Sabah,” katanya.

Tambah beliau, GRS bukan sahaja membawa suara tempatan, malah telah terbukti berjaya memimpin Sabah ke arah kestabilan dan pembangunan melalui dasar-dasar berteraskan Halatuju Sabah Maju Jaya.

Menurut Nizam, Gagasan Rakyat menghormati peranan parti-parti nasional dalam Kerajaan Perpaduan, namun kerjasama politik harus berlandaskan prinsip saling menghormati dan tidak meminggirkan kekuatan serta suara tempatan.

Beliau menyifatkan sebarang percubaan untuk membentuk kerjasama baharu tanpa melibatkan GRS atau tanpa melalui saluran muafakat sedia ada sebagai tindakan pra-matang yang tidak mencerminkan keikhlasan kepada rakyat Sabah.

“Gagasan Rakyat kekal komited memperkukuh GRS sebagai platform utama memperjuangkan kestabilan politik, kedaulatan suara tempatan, dan kemajuan berterusan buat negeri Sabah,” tegas ADUN Apas yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *