TAWAU: Seorang Ketua Anak Negeri , dijatuhi hukuman penjara 30 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol dalam kejadian pada Februari lalu.
Mahkamah turut menggantung lesen memandunya selama dua tahun dan memerintahkan hukuman penjara tambahan 30 hari jika gagal membayar denda.
Berdasarkan pertuduhan, Aidy Matamin, 61, yang berkhidmat di Mahkamah Anak Negeri Tawau didapati memandu di bawah pengaruh alkohol dua kali ganda melebihi paras dibenarkan di Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 12.20 tengah hari, 9 Februari .
Dia didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333/87) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM30,000 dan boleh dipenjarakan sehingga dua tahun selain hilang kelayakan memegang lesen memandu jika sabit kesalahan.
Tertuduh merayu hukuman diringankan atas alasan menyesal, bukan peminum tegar, serta selain mendakwa ada mengambil ubat paracetamol dan ubat selsema pada tengahari sebelum kejadian kerana kurang sihat.
Namun, pihak pendakwa memohon hukuman berat atas kepentingan awam.
