Ketua Wanita WARISAN sokong tindakan undang-undang penyebar fitnah

KOTA KINABALU: Ketua Wanita Parti Warisan (WARISAN), Norfaizah Chua berharap penyebar fitnah dapat dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Presiden WARISAN, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu dari Tawau yang dikenali sebagai Datuk Chin, susulan dakwaan berunsur fitnah mengenai asal-usul keturunannya.

Norfaizah menyifatkan tuduhan tidak berasas bahawa Shafie dan keluarganya berasal dari Filipina atau tergolong sebagai Pendatang Tanpa Izin (PTI) sebagai satu bentuk serangan peribadi jahat.

“Tindakan tegas seperti ini sememangnya wajar agar menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah demi kepentingan politik sempit.

“Saya berasa kesal kerana isu seperti ini terus dimainkan setiap kali menjelang pilihan raya, sedangkan rakyat kini lebih mengutamakan isu pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan hidup mereka,” katanya.

Menurutnya, rakyat hari ini mahu mendengar tentang kejayaan pembangunan negeri, soal kehidupan yang baik tanpa dibebani masalah kos sara hidup yang tinggi.

“Mereka mahu bekalan air bersih yang konsisten ke rumah dan kampung, jaringan elektrik dan jalan raya yang baik, bukan jalan berlubang dan tidak selamat,” katanya dalam kenyataan media, di sini kelmarin.

Norfaizah juga menegaskan bahawa rakyat semakin muak dengan pemimpin yang melindungi budaya rasuah, dan mereka mendambakan pemimpin yang bersih serta tulus memperjuangkan nasib rakyat.

“Kami berdiri teguh di belakang Presiden parti, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal. Keikhlasan dan perjuangan beliau akan terus kami pertahankan daripada sebarang tohmahan jahat,” katanya.

Terdahulu, Shafie menafikan sekeras-kerasnya tuduhan mengenai keturunannya dan menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Chin yang didakwa menyebarkan dakwaan palsu tersebut. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *