Kisah semalam: Dua kampung saman Adun, kerajaan Sabah

Ada banyak berita menarik semalam. Selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Datuk Seri Hajiji Noor dan Hajiji pula memuji Perdana Menteri, berita menarik lain termasuklah kisah dua buah kampung di pedalaman Sabah yang mengambil langkah  menyaman bekas wakil rakyat dan kepimpinan negeri selepas mendakwa rayuan mereka selama bertahun-tahun tidak dilayan.

Berita mengenai kes saman itu disiarkan di Malaysiakini. Dua kampung yang disebut ialah Kampung Sonsogon Makatol Darat di Kota Marudu dan Kampung Minusoh di Tongod. Penduduk kedua-dua kampung itu menamakan penyandang kerusi DUN Tandek, Datuk Hendrus Anding dan penyandang DUN Kuamut, Datuk Masiung Banah, ketua menteri sementara Hajiji, Pejabat Ketua Menteri dan kerajaan Sabah sebagai defendan.

Hendrus, Masiung dan Hajiji merupakan calon yang mempertahankan kerusi masing-masing di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut penduduk kampung-kampung berkenaan, tindakan yang diambil itu tiada kaitan dengan politik, tetapi soal survival mereka yang berasa putus asa selepas puluhan tahun menunggu dan rayuan mereka tidak berjawab.

Berita penuh boleh dibaca di sini.

Kita belum tahu apa reaksi balas pemimpin-pemimpin berkenaan khususnya, dan GRS umumnya terhadap tindakan saman itu. Itu soal undang-undang, biarkanlah mereka. Tetapi dari sudut politik, kita menjangkakan GRS berkemungkinan akan menyalahkan kerajaan-kerajaan terdahulu. Mereka akan berkata mereka mewarisi masalah yang ditinggalkan oleh pihak lain. Selalunya itulah cara terbaik untuk  ‘melepaskan diri’.

Soalannya mudah, kalaupun ia masalah pihak-pihak terdahulu, kenapa dalam tempoh lima tahun berkuasa mereka tidak berbuat apa-apa bagi mengatasi isu ini?

Kalau masalah dua buah kampung pun tidak boleh diselesaikan dalam tempoh yang begitu lama, macam mana ia boleh diharap membawa Sabah ke status ‘Maju Jaya’?

Takkanlah untuk menyelesaikan masalah dua kampung itu kena minta tempoh sepenggal lagi juga?

Tanya sahaja, jangan marah. Mana tau nanti’ ‘kena jual’ dengan kartel mineral pula…

 

Oleh: Anak Kinabalu

One thought on “Kisah semalam: Dua kampung saman Adun, kerajaan Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *