KM mesti nilai semula menteri dikaitkan rasuah – UMNO Sabah

KOTA KINABALU: UMNO Sabah tampil menggesa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, agar mempertimbangkan penilaian semula terhadap kedudukan anggota pentadbiran negeri yang dikaitkan dengan skandal rasuah melibatkan lesen perlombongan.

Malaysiakini dalam laporannya pada Sabtu memetik Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman (gambar) sebagai berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji kini sedang berdepan dengan “krisis kepercayaan” yang semakin meruncing dalam kalangan rakyat. Katanya, perkembangan terbaharu membabitkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperlihatkan betapa seriusnya dakwaan terhadap pentadbiran negeri.

Rosman dilaporkan berkata demikian dalam satu kenyataan semalam, yang merujuk kepada laporan media yang menyatakan bahawa SPRM telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Laporan media mengenai penyerahan kertas siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Pejabat Peguam Negara berhubung skandal perlombongan di Sabah adalah bukti jelas bahawa pentadbiran Kerajaan Sabah di bawah pimpinan ketua menteri kini terbeban dengan dakwaan serius yang mencemarkan integriti pentadbiran negeri,” kata beliau.

Beliau turut meluahkan kekesalan terhadap dakwaan penglibatan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari blok kerajaan dalam skandal berkenaan, menyifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap institusi kerajaan dan satu kegagalan kepimpinan dalam memastikan tadbir urus yang telus serta bersih di bawah slogan “Sabah Maju Jaya”.

Dalam kenyataan itu, Rosman menggesa Ketua Menteri agar tidak berlepas tangan, sebaliknya memikul tanggungjawab sepenuhnya terhadap kerosakan integriti dalam kalangan anggota kabinet beliau.

Rosman menekankan keperluan untuk menyemak semula kedudukan mana-mana individu yang terlibat demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi negeri.

Meskipun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini menyatakan bahawa video berkaitan skandal tersebut telah disunting secara keterlaluan, namun Rosman menekankan bahawa penyerahan kertas siasatan yang lengkap serta kemungkinan pertuduhan terhadap beberapa individu memberikan asas kukuh terhadap wujudnya unsur rasuah dan salah guna kuasa, khususnya dalam urusan penerokaan mineral di negeri ini.

Azam sebelum ini mengesahkan bahawa siasatan SPRM berhubung isu itu telah selesai, dan memberitahu bahawa ada kemungkinan pendakwaan akan dilakukan terhadap beberapa individu dalam tempoh terdekat.

Laporan Bernama sebelum ini juga memetik sumber yang memaklumkan bahawa kertas siasatan telah diserahkan kepada pihak pendakwaan kira-kira dua minggu lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *