SANDAKAN: MCA Sabah mengecam kerajaan negeri kerana gagal menangani krisis gangguan elektrik, air dan rangkaian Internet yang melumpuhkan seluruh kawasan di daerah ini serta sebahagian besar kawasan Pantai Timur Sabah.
Bendahari MCA Sabah yang juga Penyelaras MCA Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting Datuk Chin Kim Hiung berkata, sejak kejadian tanah runtuh pada 13 September lepas, lebih 230,000 pengguna di Pantai Timur negeri ini terpaksa berdepan gangguan bekalan elektrik secara menyeluruh.
Menurutnya, ketiadaan bekalan elektrik itu menyebabkan loji rawatan air terhenti beroperasi dan mengakibatkan bekalan air paip terganggu untuk tempoh yang lama.
Katanya, rangkaian komunikasi dan Internet turut lumpuh, menyebabkan aktiviti harian dan ekonomi masyarakat hampir terhenti sepenuhnya.
“Ini bukanlah sekadar bencana alam yang tidak dapat dielakkan, tetapi hasil dari kegagalan kerajaan dalam aspek pencegahan dan penyelenggaraan.
“Wakil rakyat kerajaan memiliki sumber dan kuasa yang besar, namun mereka gagal memastikan bekalan elektrik, air dan Internet kekal stabil. Ini jelas memperlihatkan kelemahan pentadbiran mereka,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Penyelaras MCA Parlimen Batu Sapi ini berkata, tindakan kerajaan negeri dan agensi berkaitan terlalu lambat selepas insiden berlaku.
Beliau berkata, tiada penempatan segera set generator secara bergerak atau pelan alternatif yang jelas, malah penduduk tidak dimaklumkan dengan jadual pemulihan yang telus.
“Akibatnya, ribuan keluarga terpaksa hidup dalam kegelapan dan tanpa air, manakala gangguan komunikasi turut menjejaskan pendidikan, perniagaan dan juga perkhidmatan kesihatan.
“Malah keadaan kecemasan boleh menjadi lebih parah kerana talian tidak dapat dihubungi,” jelasnya.
Beliau menegaskan, rakyat tidak memerlukan slogan kosong, tetapi jaminan kepada keperluan asas mereka kerana bekalan elektrik, air dan Internet adalah nadi masyarakat moden.
Menurutnya, kegagalan dalam aspek berkenaan pastinya akan terus menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Katanya, wakil rakyat yang mempunyai sumber dan kuasa seharusnya tampil membela rakyat dengan mencari penyelesaian, bukannya berdiam diri atau melepaskan tanggungjawab.
“Jika keperluan asas ini pun tidak mampu dijaga, bagaimana rakyat mahu terus beri kepercayaan,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada Sabah Electricity dan Jabatan Air Negeri Sabah yang bertungkus lumus melakukan kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik dan air meskipun berdepan cuaca serta keadaan persekitaran yang mencabar.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga kakitangan SESB yang terlibat dalam kemalangan ketika menjalankan kerja-kerja pembaikan.
Chin turut mengingatkan kepada semua pasukan teknikal supaya mengutamakan keselamatan semasa bertugas.
“Hanya melalui komunikasi yang telus serta tindakan yang bertanggungjawab barulah keyakinan rakyat dapat dipulihkan.
“Jika kerajaan dan parti pemerintah terus gagal, mereka hanya akan membuat rakyat Sabah semakin hilang kepercayaan,” katanya. – Utusan Borneo
