PITAS: Lebih 2,000 pelajar daripada tujuh sekolah di daerah ini menerima bantuan keperluan persekolahan harian menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) baharu oleh SMJ Energy Sdn Bhd dengan kerjasama Yayasan MyKasih.
Inisiatif itu dilancarkan Menteri Kewangan Sabah merangkap Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, dalam satu majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kanibungan, di sini, hari ini.
Masidi berkata, inisiatif berkenaan membuktikan komitmen SMJ Energy dalam memastikan hasil industri minyak dan gas Sabah turut memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya generasi muda yang menjadi harapan masa depan negeri.
“Program ini membuktikan bahawa hasil kekayaan negeri boleh disalurkan semula untuk pembangunan sosial, terutama pendidikan.
“Jika sedikit bantuan ini mampu mengubah haluan hidup seorang pelajar, ia adalah satu pelaburan yang besar maknanya,” katanya.
Katanya, program itu membabitkan tiga sekolah menengah dan empat sekolah rendah di daerah ini, dengan bantuan disalurkan dalam bentuk tunai tanpa sentuh untuk pembelian makanan dan alat tulis di kantin serta koperasi sekolah.
“Kaedah digital itu diperkenalkan bagi memastikan ketelusan dan ketepatan penyampaian bantuan terus kepada pelajar tanpa melalui perantara,” katanya.
Masidi berkata, Pitas antara daerah yang berdepan cabaran sosioekonomi yang ketara di Sabah, justeru memerlukan sokongan berterusan agar setiap pelajar mendapat peluang yang sama dalam pendidikan.
“Inisiatif ini juga adalah pelengkap kepada usaha sedia ada oleh pihak sekolah, pegawai pendidikan serta pertubuhan tempatan dalam memperkasakan pendidikan luar bandar.
“Kita sedar, untuk membawa perubahan di kawasan seperti Pitas, ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.
Terdahulu, Yayasan MyKasih memainkan peranan penting dalam pelaksanaan program berkenaan termasuk memantau serta menyediakan laporan impak secara berkala bagi menilai keberkesanan bantuan yang disalurkan. – Penerangan Gagasan Rakyat
