TAWAU: Seorang lelaki warga asing dalam lingkungan usia 30-an ditahan polis selepas didapati menggunakan dokumen pengenalan diri milik individu lain dalam satu pemeriksaan rutin di sekitar bandar Tawau, kelmarin.
Ketika sepasukan polis daripada Balai Polis Tawau menjalankan rondaan bit di kawasan berkenaan, mereka telah terserempak dengan lelaki yang dilihat berkelakuan mencurigakan seterusnya pemeriksaan segera dilakukan sebagai langkah pencegahan jenayah.
Dalam pemeriksaan tersebut, lelaki terbabit telah menyerahkan sijil lahir, MyKad dan lesen memandu kepada pihak polis. Namun hasil semakan awal mendapati terdapat percanggahan ketara pada maklumat yang tertera di dokumen berkenaan, termasuk nama pada sijil lahir dan MyKad yang tidak sepadan.
Siasatan awal polis di lokasi kejadian mengesahkan bahawa suspek telah menggunakan dokumen pengenalan diri milik orang lain. Pemeriksaan lanjut melalui sistem IPRS mendapati bahawa MyKad tersebut pernah dilaporkan hilang sebelum ini.
Berikutan itu, semua dokumen yang dikemukakan telah dioramas dan suspek dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes kini disiasat di bawah Peraturan 25(1)(O), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1960 kerana memiliki atau menggunakan kad pengenalan secara tidak sah.
Pihak polis turut menasihatkan orang ramai agar menjaga dokumen pengenalan diri mereka dengan baik dan tidak menyerahkannya kepada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dokumen pengenalan diri hendaklah diperoleh melalui saluran yang sah mengikut undang-undang bagi mengelakkan penyalahgunaan yang boleh membawa kepada tindakan jenayah. – Sabah News
