Lembu korban mengamuk ditangkap selepas enam jam operasi

KOTA KINABALU: Seekor lembu korban yang terlepas dan bertindak agresif di kawasan perumahan di Jalan UMS di sini berjaya ditangkap semula selepas operasi penangkapan dijalankan selama enam jam.

Dalam kejadian jam 8 malam semalam itu, pemilik lembu bersama penduduk taman berusaha menangkap haiwan berkenaan namun gagal selepas lembu jantan seberat kira-kira 300 kilogram itu menunjukkan tingkah laku agresif dan sukar dikawal.

Berikutan itu, mereka meminta bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu sebelum sepasukan anggota tiba di lokasi sekitar jam 12 tengah malam bagi melaksanakan operasi menangkap lembu terbabit.

Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, seramai enam anggota lengkap dengan pakaian perlindungan diri (PPE) dan peralatan tali digunakan dalam operasi itu.

“Selepas hampir dua jam usaha dijalankan, lembu itu akhirnya berjaya ditangkap dan dikawal menggunakan tali dengan bantuan penduduk taman.

“Lembu berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan semula kepada pemiliknya.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.44 pagi,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *