KOTA KINABALU; Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa parti menghormati hak Timbalan Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan untuk menyuarakan pandangan berbeza sebagai sebahagian daripada kematangan dalam sistem demokrasi, lapor Daily Express.
Menurut laporan akhbar tersebut, Bung mengakui bahawa Abdul Rahman merujuk kepada perkembangan politik yang berlaku pada tahun 2022, namun menekankan bahawa perbezaan tersebut telah diselesaikan melalui konsensus parti.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan untuk menarik diri daripada Kerajaan Negeri ketika itu bukan bersifat peribadi, sebaliknya adalah hasil pertimbangan secara kolektif oleh kepimpinan parti setelah mengambil kira segala implikasi.
Tambah Bung lagi, Umno Sabah lebih memilih untuk mara ke hadapan daripada terus terperangkap dalam episod lama.
Beliau turut memberi peringatan kepada pihak media tertentu agar tidak cuba menghidupkan semula isu tersebut demi memenuhi naratif pihak-pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Umno Sabah kini berada dalam keadaan bersatu, bersemangat dan bersedia menghadapi pilihan raya dengan agenda yang jelas serta sokongan akar umbi yang kukuh,” kata Bung seperti dipetik Daily Express.
Terdahulu, Abdul Rahman dilaporkan menyifatkan keputusan pada tahun 2022 – yang digelar sebagai ‘Langkah Kinabalu’ – sebagai satu kesilapan besar yang melemahkan kedudukan Umno di Sabah.
Menurut beliau, tindakan itu menyebabkan Umno kehilangan kedudukan strategik dalam kerajaan negeri, selain beberapa wakil rakyat dan peranan di peringkat akar umbi.
Walaupun mengiktiraf kepimpinan Bung, Abdul Rahman menegaskan bahawa Umno sepatutnya kekal dalam kerajaan untuk mengekalkan pengaruh dan penghormatan dalam landskap politik Sabah, sambil menggesa pendekatan yang lebih strategik demi kelangsungan kekuatan parti dalam jangka panjang.
