KOTA KINABALU: Lima bekas pemimpin STAR Sabah yang meninggalkan parti itu bakal bertanding sebagai calon langsung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya mereka dipilih untuk mempertahankan kerusi masing-masing pada Pilihan Raya Negeri Sabah pada 29 November.
The Star dalam laporannya semalam memetik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Annuar Ayub Aman sebagai berkata bahawa kesemua mereka mengambil pendirian berbeza daripada keputusan Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, yang menarik parti tersebut keluar daripada GRS.
“Kami tidak ‘meninggalkan’ STAR Sabah. Kami memilih untuk kekal bersama GRS,” katanya sambil menegaskan bahawa mereka tidak menyertai mana-mana parti lain selepas keputusan STAR menarik diri daripada GRS pada 1 Oktober.
Selain Annuar, empat lagi pemimpin yang turut melepaskan jawatan dalam STAR ialah Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Flovia Ng (Tulid), dan Datuk Abidin Madingkir (Paginatan). Mereka berbuat demikian sebagai tanda sokongan kepada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, ketika beliau membubarkan Dewan Undangan Negeri pada 6 Oktober.
Jeffrey, selaku ADUN Tambunan dan Ahli Parlimen Keningau, memilih untuk menarik STAR keluar daripada GRS atas alasan strategi politik, kerana tidak bersetuju gabungan tempatan itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan. Menurutnya, langkah tersebut selari dengan sentimen pengundi yang mahu parti tempatan lebih dominan dalam politik negeri.
