Lima penjuru di Sibuga Jangan salah pilih, kesannya lima tahun – Suhaimi

LIBARAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Sg Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir, menyifatkan pertandingan lima penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi yang matang, selain memberi peluang kepada rakyat menilai sendiri rekod setiap parti dan calon.

Pertembungan di kerusi N52 itu melibatkan Ismail Md Said (PIS), Nurulalsah Hassan Alban (Warisan), Norani Asmatil (PN–Bersatu), Datuk Amirshah Yaakub (GRS–Gagasan Rakyat).

Suhaimi berkata BN menghormati saingan daripada semua parti, namun maklum balas sepanjang kempen menunjukkan sokongan pengundi kembali memihak kepada BN berdasarkan pengalaman pentadbiran sebelum ini.

“Kita berhadapan dengan pertandingan lima penjuru kali ini daripada PN, Perikatan Nasional, Warisan, GRS dan Parti Impian. Alhamdulillah, khususnya di Sungai Sibuga, saya melihat tanda-tanda jelas bahawa rakyat merindui kepimpinan Barisan Nasional,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau seterusnya menambah ramai pengundi kini dapat membuat perbandingan antara pentadbiran kerajaan terdahulu sama ada di bawah BN, Warisan atau GRS dan merasai sendiri perbezaan dari sudut kestabilan dan kecekapan pentadbiran.

“Bukan soal parti semata-mata, tetapi soal kepimpinan. Kegagalan atau kejayaan sesebuah kerajaan banyak bergantung pada kemampuan individu yang memimpin, bukan hanya pada nama parti.

“Parti hanyalah wadah. Yang menentukan kejayaan atau kegagalan adalah kepimpinan. Sebab itu, untuk menentukan masa depan negeri Sabah, pada 29 Nov  nanti jangan sampai tersalah memilih. Silap memilih akan memberi kesan selama lima hingga sepuluh tahun akan datang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sepanjang pentadbiran BN sebelum 2018, negeri tidak berdepan masalah asas seteruk masa kini.

“Sebelum ini, kerajaan BN  tidak pernah berdepan ‘penyakit’ pentadbiran seteruk era Warisan dan seterusnya GRS. Di bawah BN, pembangunan menyeluruh dapat dilaksana…bekalan air, jalan raya, pendidikan, hospital  dan sebagainya lagi. Semuanya sudah bermula di bawah BN. Yang diperlukan hanyalah meneruskan kesinambungan,” katanya.

Menurutnya, selepas 2018, Sabah mula berdepan pelbagai masalah daripada “penyakit tiga serangkai” sehingga menjadi “lima serangkai” berpunca daripada isu integriti dan kelemahan pentadbiran.

Berkaitan pendekatan kempen, Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran memilih pendekatan bersemuka dengan pengundi bagi memastikan segala perancangan BN untuk Sungai Sibuga dapat diterangkan dengan lebih jelas.

“Setelah penamaan calon semalam, saya mengambil pendekatan lebih baik bersemuka dengan pengundi-pengundi di N52 Sungai Sibuga berbanding ceramah besar-besaran. Dalam 14 hari ini sebelum 29 November, yang kita harapkan adalah sentuhan terakhir sentuh hati ke hati. Saya mahu pengundi di Sungai Sibuga bersama kita satu hati,” katanya.

Suhaimi berkata BN telah merangka pembangunan jangka panjang untuk kawasan itu dan mahu memastikan kesinambungan agenda tersebut sekiranya diberikan mandat.

Beliau seterusnya merayu agar pengundi membuat pilihan dengan penuh pertimbangan demi masa depan generasi akan datang.

“Justeru saya merayu kepada seluruh rakyat di N52 Sungai Sibuga dan seluruh penduduk Libaran…jangan sampai tersalah memilih. Keputusan kita hari ini menentukan masa depan anak-anak bangsa kita sendiri,” katanya. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *