KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa memberi kemudahan undi pos kepada rakyat Sabah yang bekerja, belajar atau menetap di Semenanjung Malaysia, kata Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO).
The Star dalam laporannya semalam memetic Madius sebagai berkata, tuntutan itu sudah lama disuarakan oleh pelbagai pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) seperti Bersih.
“Bagi saya, langkah ini wajar dilaksanakan agar orang Sabah yang berada di luar negeri asal mereka tidak terhalang daripada menunaikan hak dan tanggungjawab demokrasi.
“Ramai orang Sabah di Semenanjung menghadapi kesukaran untuk pulang mengundi kerana kekangan tiket penerbangan yang terhad, harga tambang yang tinggi, kesukaran mendapatkan cuti, dan masa yang tidak mencukupi.
“Dengan adanya undi pos, mereka boleh menunaikan tanggungjawab kepada negara tanpa terbeban kos yang melampau,” katanya dalam kenyataan pada Khamis, sebagai sokongan kepada gesaan serupa oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.
Madius menegaskan, memperluas akses kepada undi pos adalah satu langkah penting untuk memperkukuh amalan demokrasi serta penglibatan rakyat dalam proses pilihan raya.
“Kita perlu memastikan hak mengundi dapat diakses oleh semua warganegara, tanpa mengira di mana mereka berada.
“Satu sistem undi pos yang telus dan terjamin keselamatannya akan membolehkan lebih ramai orang Sabah mengambil bahagian dalam proses demokrasi,” ujarnya.
Beliau menambah, cadangan ini selari dengan prinsip keadilan dan keterangkuman yang menjadi tunjang sistem pilihan raya Malaysia, dan harus dipertimbangkan dengan serius oleh kerajaan serta SPR.
Sebelum ini, Lee dilaporkan menggesa SPR agar membenarkan pengundi Sabah di Semenanjung mengundi melalui pos bagi pilihan raya negeri akan datang, supaya hak demokrasi mereka tidak dinafikan hanya kerana jarak dan kos.
Dalam masa sama, Madius turut menggesa SPR dan kerajaan negeri meneliti semula aspek perundangan serta mekanisme pelaksanaan undi pos, termasuk memperkenalkan sistem pengundian awal dan saluran maklumat khas untuk pengundi Sabah di luar negeri.

https://shorturl.fm/aciYP