KINABALU: Presiden Kehormat UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, menjadi pilihan UPKO Tuaran untuk dicalonkan di DUN Tamparuli pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, lapor The Star.
Menurut akhbar itu cadangan tersebut dibuat melalui satu usul yang diluluskan semasa Konvensyen UPKO Tuaran 2025 semala berdasarkan penilaian bahagian terhadap lebih 7,000 ahli aktif, dapatan daripada kajian sikap, maklum balas akar umbi serta penerimaan positif dalam kalangan masyarakat setempat.
Selain Tangau, UPKO Tuaran juga menamakan Joisin Romut untuk dicalonkan di DUN Kiulu.
Ketua Penerangan UPKO, Dr Peter Jr Naintain, berkata usul berkenaan mencerminkan keyakinan akar umbi terhadap kedua-dua pemimpin tersebut yang telah lama aktif berkhidmat kepada masyarakat tempatan.
“Ahli-ahli menyatakan sokongan padu kepada Datuk Seri Madius dan Joisin, kerana percaya mereka berdua berupaya meneruskan perjuangan Upko serta memperkukuh kehadiran parti di Tuaran,” katanya ketika ditemui selepas konvensyen tersebut.
Dr Peter berkata cadangan itu merupakan antara beberapa usul yang diluluskan semasa konvensyen tersebut, sambil menambah bahawa keputusan muktamad mengenai pencalonan akan dibuat oleh kepimpinan pusat parti.
