Mandat rakyat milik parti, bukan individu – Salleh

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak menegaskan bahawa dalam pilihan raya, rakyat sebenarnya memilih parti terlebih dahulu, bukannya calon individu.

Menurutnya, parti membawa dasar, manifesto dan simbol, manakala calon hanyalah wakil yang mengangkat nama parti berkenaan.

“Bila seseorang menang atas tiket parti, kemenangan itu milik parti – hasil jentera, penyokong dan kekuatan akar umbi. Calon hanya menumpang nama dan kekuatan parti,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Salleh berkata, memang benar sesiapa pun boleh bertanding semula sama ada atas tiket lain atau sebagai calon bebas, tetapi rakyat berhak menilai sejauh mana mereka setia kepada mandat asal atau sebaliknya mengkhianatinya.

Beliau menegaskan, ada yang keluar parti dengan alasan prinsip atau tidak bersetuju dengan keputusan parti, namun jika benar berpegang kepada prinsip, sepatutnya mandat dipulangkan semula kepada rakyat.

“Realitinya, bila seseorang menyertai parti pemerintah, peluang mendapat jawatan lebih baik hampir pasti terbuka. Rakyat boleh menilai sama ada tindakan itu benar demi prinsip, atau hanya mengejar kedudukan,” katanya, yang juga Bendahari UMNO Sabah.

Salleh turut menekankan bahawa pengundi sering berasa dikhianati apabila wakil rakyat meninggalkan parti. Mandat yang diberi dianggap milik peribadi, sedangkan ia adalah amanah rakyat.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar lebih bijak membuat pilihan dengan menolak wakil rakyat yang pernah mengabaikan amanah.

“Menolak mereka bukan kerana marah, tetapi kerana mahu menjaga maruah demokrasi. Yang lebih penting, rakyat mesti menuntut kestabilan politik dan memilih pemimpin yang benar-benar setia kepada rakyat serta parti,” kata ADUN Usukan itu lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *