KOTA KINABALU: Masa depan politik Sabah bergantung kepada sejauh mana parti-parti dapat meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi dengan membina kerjasama yang kukuh demi kestabilan, kata ADUN Usukan, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata, dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, isu utama yang sering diperdebatkan ialah sama ada parti bertanding secara solo atau membentuk kerjasama.
Menurutnya, bertanding secara solo membolehkan parti mengekalkan identiti tanpa kompromi, namun ia berisiko membawa kepada pertandingan banyak penjuru yang akhirnya memecah undi dan melemahkan peluang membentuk kerajaan stabil.
Sebaliknya, kerjasama politik dilihat mampu menyatukan kekuatan.
“Apabila tenaga dan sokongan digabungkan, mesej politik lebih meyakinkan, undi tidak terpecah, dan peluang membentuk kerajaan yang stabil lebih tinggi,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Salleh yang juga Bendahari UMNO Sabah menegaskan rakyat sudah letih dengan episod lompat parti dan pertukaran kerajaan yang berulang. Persoalan utama bagi mereka kini ialah siapa yang boleh menjamin kestabilan untuk lima tahun penuh.
“Dalam konteks politik negara hari ini, pengundi mahu melihat siapa yang mampu bekerjasama dengan Putrajaya untuk membawa pembangunan, pelaburan, peluang pekerjaan dan infrastruktur ke Sabah,” katanya.
Pada masa yang sama, Salleh menekankan bahawa suara Sabah mesti tegas dalam soal autonomi dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Hak negeri perlu diperjuangkan sebagai milik rakyat, bukan sekadar modal politik parti, dan ia mesti dilakukan tanpa mengorbankan kestabilan hubungan dengan pusat,” katanya lagi.
Bekas ketua menteri Sabah itu seterusnya menegaskan bahawa kepentingan peribadi mana-mana pemimpin tidak sepatutnya menjadi asas dalam membuat keputusan.
“Perpaduan mesti dibina atas kepentingan rakyat dan masa depan Sabah. Heroisme dan usaha mencipta nama bukanlah agenda rakyat,” tegasnya.
Akhirnya, beliau percaya pengundi akan memilih jalan yang boleh menyatukan kepelbagaian, menjamin kestabilan, membawa pembangunan, serta menegakkan MA63.
“Dalam realiti politik hari ini, yang menang bukan solo tetapi perpaduan,” katanya.
