Masalah infrastruktur bukti kegagalan urus negeri – Shafie

TAWAU: Masalah berterusan berkaitan infrastruktur asas di Sabah bukti kelemahan dan kegagalan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam mentadbir negeri sejak lima tahun lalu.

Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, berkata perkara ini terus membelenggu rakyat sehingga kini, malah semakin parah.

Katanya, meskipun kerajaan negeri mempunyai wakil rakyat di setiap kawasan, pelbagai isu asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya masih gagal ditangani hingga menjejaskan kehidupan rakyat.

“Mereka ada Ahli Parlimen, mereka ada ADUN, semua ada kawasan. Mereka jadi kerajaan tapi semua salahkan WARISAN. Takkan semuanya salah kita?

“Rakyat kini sudah mula sedar dan menilai berdasarkan realiti kehidupan mereka sendiri. Bila balik rumah, air tak ada, elektrik padam-padam.

“Itu bukan cerita TikTok atau ucapan politik, tapi hakikat yang mereka alami setiap hari,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Keahlian Baharu Parti Warisan Bahagian Tawau, di sini, kelmarin.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 15 cawangan baharu WARISAN dengan 943 ahli baharu menyerahkan borang keahlian kepada parti itu.

Shafie berkata, perkembangan itu menunjukkan semakin ramai rakyat termasuk bekas ahli pelbagai parti lain memberi kepercayaan kepada WARISAN untuk menjadi wadah penyatuan rakyat Sabah.

“Hari ini bukan sekadar majlis penerimaan ahli baharu, tetapi juga tanda sokongan daripada pelbagai pihak termasuk bekas ahli GRS, UMNO, PKR dan bahkan seorang Kapitan Cina yang meletak jawatan untuk menyertai WARISAN.

“Ini petanda baik bahawa rakyat Sabah mahu bersatu di bawah satu landasan politik yang jelas dan berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas kemelut dalaman yang melanda GRS selepas beberapa parti komponennya dilihat bergerak secara berasingan menjelang pilihan raya negeri akan datang.

“Ini petunjuk Tuhan. Bila gabungan dibina atas kepentingan parti dan jawatan, memang sukar untuk kekal bersatu. Kalau kepentingan rakyat dijadikan asas, tidak timbul masalah seperti ini.

“Tapi bila semua berebut kerusi, berebut projek, inilah akibatnya. Mereka dulu bergabung, sekarang berpecah sesama sendiri,” katanya.

Shafie menegaskan, WARISAN akan terus memperjuangkan agenda membela rakyat Sabah dengan pendekatan yang inklusif dan berpandangan jauh.

“Yang penting kita kerja kuat, dekati rakyat dan dengar suara mereka. Jangan terlalu selesa atau terlalu yakin.

“Kita perlu terus turun padang kerana rakyat Sabah masih bergelut dengan kesusahan akibat masalah asas yang tidak diselesaikan oleh kerajaan sekarang,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *