KOTA KINABALU: Media memainkan peranan penting sebagai jambatan komunikasi antara rakyat dan kepimpinan politik.
Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, dalam era politik baharu, suara rakyat tidak hanya terbentuk di Parlimen atau pentas ceramah, tetapi juga melalui wacana media.
Katanya, hubungan konstruktif dengan wartawan adalah sebahagian penting daripada strategi komunikasi UMNO Sabah.
“Usaha ini bagi memastikan maklumat yang tepat dan seimbang sampai kepada rakyat,” katanya pada majlis makan malam mesra bersama Persatuan Wartawan Sabah (SJA) dan wakil agensi media di sini kelmarin. Turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir.
Bung Moktar berkata, majlis makan malam itu bukan sekadar acara sosial, tetapi menjadi wadah untuk memperkukuhkan komunikasi strategik antara kepimpinan politik dan pengamal media terutama menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Sementara itu, Suhaimi berkata, media bukan sekadar penyampai berita, tetapi juga sebagai ejen wacana demokratik.
“Keupayaan kita untuk berkomunikasi dengan jelas dan beretika akan menentukan sama ada politik difahami sebagai penyelesaian, atau sekadar dilihat sebagai retorik.
“Justeru, kerjasama UMNO dengan media bukan soal kepentingan partisan, tetapi usaha memperkukuh literasi politik rakyat,” jelasnya.
Selain itu, pihaknya turut melihat majlis makan malam itu sebagai platform dialog terbuka yang menghubungkan perspektif politik dengan tanggungjawab profesional media.
Menurutnya, pendekatan berkenaan mencerminkan intipati komunikasi politik moden keterbukaan, kebertanggungjawaban dan keberkesanan dalam penyampaian maklumat.
Beliau berkata, dengan penganjuran majlis itu, UMNO Sabah menghantar mesej jelas menjelang PRN17, strategi parti bukan sekadar tertumpu kepada pembangunan dasar dan penyediaan manifesto.
Tetapi katanya, ia turut memberi keutamaan kepada komunikasi strategik yang inklusif memastikan suara rakyat diterjemah secara berkesan melalui saluran media yang berwibawa.
Hadir sama, Penasihat SJA Datuk Muguntan Vanar dan Presiden SJA Mariah Doksil.
Sumber: Utusan Borneo
Kredit foto: FB Bung Moktar Radin
