SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang tidak membenarkan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) turut serta dalam mesyuarat sangat mengecewakan.
PPM Karamunting, Datuk Chew Kok Woh (gambar) berkata, baru-baru ini beliau dimaklumkan Pemaju Mukim Karamunting Poon Ret Wing dan Chang Sze Yeng yang diamanahkan untuk mewakili beliau menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan MPS diminta keluar dari menghadiri mesyuarat itu.
“Mereka dimaklumkan bahawa ia adalah ‘standing order’ baharu MPS yang kini tidak membenarkan kakitangan Unit UPPM kawasan dari menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa MPS di daerah ini.
“Selepas insiden itu, semua PPM di sini turut dikeluarkan dari semua kumpulan whatsaap MPS yang melibatkan semua Jabatan Negeri dan Persekutuan termasuk Ahli-ahli Majlis MPS yang baharu di lantik,” katanya dalam kenyataan.
Chew berkata, UPPM yang diletakan dibawah Jabatan Ketua Menteri adalah mata dan telinga kerajaan negeri bagi menolong dan membantu meringankan kerja-kerja jabatan kerajaan negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti MPS.
Katanya, kehadiran UPPM sudah lebih 20 tahun dalam mesyuarat seumpamanya dan sehingga hari ini pihak UPPM masih tidak menerima surat berkenaan arahan seumpamanya.
“Keputusan menghalang kakitangan UPPM menghadiri semua Mesyuarat Jawatankuasa MPS akan melemahkan jentera tadbir urus kerajaan negeri dalam merealisasikan agenda kerajaan untuk membantu rakyat seperti menyuarakan aduan rakyat, masalah setempat dan sebagainya.
“Setiap kali bila ada masalah atau aduan rakyat yang tidak dapat diselesaikan, UPPM kawasan yang akan dipersalahkan sedangkan aduan atau masalah itu telah disampaikan UPPM kawasan dengan surat aduan bertulis atau dikemukakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa MPS,” katanya.
Beliau berkata, UPPM Karamunting memandang serius perkara itu. Pihaknya akan terus melaksanakan tugasan harian dengan memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Berikutan tindakan itu, masyarakat awam di Sandakan diminta untuk berhubung terus dengan pihak pengurusan MPS untuk menyampaikan aduan berkaitan seperti masalah perparitan, pemotongan rumput, jalan raya, serta kerosakan harta benda awam yang lain,” katanya. – Utusan Borneo
